kbs Agensi di bawah Kementerian Belia dan Sukan Malaysia 
A A  Arial | PT Sans | Century
 Bahasa lain   carian
faq hubungi hubungi hubungi

3 pelajar Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik Malaysia paling cemerlang di University of Manchester

KUALA LUMPUR: Tiga pelajar Malaysia meraih keputusan paling cemerlang dalam Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik di University of Manchester, United Kingdom (UK).

Muhammad Nazmi Mohd Ropi, Wan Nur Adlina Wan Halim dan Mohamad Mukhzuhayr Mohd Rashid menerima hadiah 'Overall Performance in the Year Group (based on GPA)'.

Muhammad Nazmi, 24, yang berasal dari Rawang, Selangor berkata dia bersyukur dan gembira apabila dinobatkan sebagai paling cemerlang, di tempat pertama dalam kohort.

Bercita-cita menjadi pembangun perisian, Muhammad Nazmi tidak menyangka memperoleh pengiktirafan itu dan hanya rakan sekelas yang tahu hasil usaha keras untuk mencapai tahap sebegitu.

"Terima kasih kepada pendorong utama saya iaitu ibu bapa yang sentiasa mendoakan kejayaan saya.

"Rakan sekelas yang aktif dalam perbincangan juga banyak membantu selain hubungan sosial yang rapat membawa kepada saling bantu-membantu ketika susah dan senang.

"Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada guru yang sentiasa memberi sokongan kepada saya setiap masa," kata bekas pelajar Kolej Yayasan UEM itu.

Mengenai persaingan sejak belajar dalam bidang itu pada 2020, dia mengakui persaingan pelajaran di luar negara memang kompetitif.

Katanya yang mendapat tajaan Petronas, ramai pelajar yang bijak dan mereka turut mempunyai kelebihan dalam bahasa Inggeris.

"Jadi apa yang saya lakukan adalah memahirkan lagi penguasaan bahasa Inggeris untuk lebih memahami bahan kursus.

"Namun, situasi kompetitif inilah yang memberi dorongan untuk saya melakukan yang terbaik dan membuktikan pelajar Malaysia juga mampu mencapai kejayaan cemerlang," katanya yang mendapat 10A+ 1A pada Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) lalu.

Katanya, dia memilih jurusan Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik kerana sangat kagum dengan teknologi itu yang berubah dengan begitu pantas kerana ia adalah asas kepada banyak inovasi yang digunakan setiap hari.

"Saya mahu memberikan impak dalam inovasi teknologi yang dapat digunakan oleh orang ramai.

"Selain itu saya berharap untuk terus berbakti kepada negara dan saya berbangga untuk menyumbang kembali kepada masyarakat dengan ilmu yang saya perolehi," katanya yang turut mempunyai adik yang sedang belajar dalam bidang Sains Komputer di Wisconsin, Amerika Syarikat.

Wan Nur Adlina, 24, dari Pulau Pinang, berkata dia tidak menyangka keputusannya menyambung pengajian dalam bidang itu membolehkannya mendapat kedua terbaik dalam kohortnya.

Katanya, dia memilih kursus itu kerana minat ke arah 'coding', cara menghasilkan elektrik menggunakan tenaga bersih dan 'embedded systems' iaitu sebagai contoh dapat melihat bagaimana dari 'coding' berjaya membuatkan robot bergerak.

"Terima kasih kepada ahli yang tidak putus memberi semangat dan dorongan sepanjang pengajian saya dan tidak lupa juga rakan satu kursus yang sentiasa ada untuk saya ketika saya memerlukan pertolongan," kata anak bongsu dari tiga beradik itu.

Dia yang bercita-cita menjadi jurutera berkata, pada awalnya dia agak risau sekiranya tidak mencapai taraf dikehendaki University of Manchester kerana dia sedar semua pelajar di situ hebat.

Bagaimanapun katanya, semakin lama belajar di situ, dia menyedari semua pelajar berada di tahap terbaik dan yang membezakan mereka hanyalah usaha untuk menghasilkan kualiti kerja yang bagus.

"Saya berharap pencapaian ini dapat membantu saya menggunakan pengetahuan yang ada ini dengan sebaik mungkin untuk menyumbang kepada keperluan bakat yang sangat diperlukan oleh negara," katanya.

Mohamad Mukhzuhayr, 24, dari Selangor, berkata dia tidak menyangka berpeluang menerima pengiktirafan ketiga terbaik dalam kohortnya itu.

Anak kelima dari enam beradik yang mendapat tajaan MARA sejak melanjutkan pelajaran pada 2020 itu berkata, sejak bersekolah lagi dia sentiasa mendapat dorongan daripada ibu dan keluarga untuk belajar bersungguh-sungguh.

"Bagi saya apa yang penting dalam hidup ini adalah sentiasa mempunyai perasaan ingin tahu dan dari situ akan mendapat lebih banyak ilmu berguna.

"Selain itu, sepanjang berada di UK juga saya kerap membuat latihan industri bagi mendapatkan seberapa banyak pengalaman di luar kampus," kata bekas pelajar Kolej MARA Seremban itu.

Mohamad Mukhzuhayr yang akan bergraduasi pada 18 Julai ini berkata, dengan pencapaian itu dia berharap selepas ini cita-citanya untuk menjadi jurutera perisian akan tercapai.

Sumber: Berita Harian

Pautan: https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2024/07/1271432/3-pelajar-kejuruteraan-elektrik-dan-elektronik-malaysia-paling

RAKAN STRATEGIK IYRES

iyres.svg

INSTITUT PENYELIDIKAN PEMBANGUNAN BELIA MALAYSIA

Aras 10, Menara KBS, No. 27 Persiaran Perdana, Presint 4,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62570 Putrajaya.

Tel : +603-8871 3417 
Faks : +603-8871 3342 
Emel : info[at]iyres.gov.my

Image
Image
Image
Image

© 2023 Institut Penyelidikan Pembangunan Belia Malaysia (IYRES)
Hak cipta terpelihara. Paparan terbaik pada versi terkini Chrome, Firefox, Edge, Safari.