- Laman Utama
- Berita Terkini
- Misi perkasa 16,000 anak muda
Misi perkasa 16,000 anak muda
KUALA LUMPUR: Peruntukan RM30 juta untuk menganjurkan program Belia Kreatif MADANI seperti diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada pembentangan Belanjawan 2025 membuktikan kerajaan menyokong usaha menarik minat generasi muda menceburi bidang seni kreatif dengan sasaran lebih 16,000 peserta bakal mendapat manfaat.
Presiden Persatuan Penerbit Televisyen Malaysia (PTVM), Datuk Jurey Latiff Rosli, berkata Program Belia Kreatif MADANI bermanfaat kepada belia yang mempunyai minat dalam bidang seni.
"Kita boleh lahirkan graduan kreatif tetapi kurang peluang untuk terbabit dalam arus perdana. Jadi, dana ini membantu mereka merancakkan industri kreatif dan memberi lebih banyak peluang pekerjaan.
"Pertandingan filem pendek dan bengkel videografi bagus untuk anak-anak muda. Usaha ini juga boleh mewujudkan peluang pekerjaan buat pakar industri kreatif mengajar dalam bengkel seterusnya menambah sumber pendapatan," katanya kepada BH Online.
Pada pembentangan Belanjawan 2025 di Dewan Rakyat, Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, aktiviti yang akan dilaksanakan menerusi bengkel adalah kemahiran videografi kandungan kreatif, pembangunan komuniti filem dan pertandingan filem pendek.
Jurey berkata, aktiviti bengkel kemahiran videografi kandungan kreatif, pembangunan komuniti filem serta pertandingan filem pendek mampu memberi banyak manfaat kepada industri kreatif tanah air dalam jangka masa panjang.
"Dalam jangka panjang, kita akan lahirkan lebih ramai penggiat industri berilmu dan berpengalaman yang boleh memartabatkan industri kreatif Malaysia.
"Ini bermakna kerajaan juga melihat mereka perlu membantu pengkarya muda untuk terbabit sama dalam industri kreatif tanah air sebab merekalah masa depan kita.
"Kita yakin dengan suntikan ini dapat memeriahkan industri dengan lebih ramai belia terbabit di arus perdana. Mereka inilah akan menjadi pengganti kepada orang lama macam kami kami," katanya.
Selain itu, Jurey juga memuji usaha kerajaan memberi peruntukan sebanyak RM65 juta untuk Dana Kandungan Digital (DKD) membabitkan penambahan RM5 juta berbanding peruntukan sebanyak RM60 juta yang diberi kerajaan dalam belanjawan tahun lalu.
"Terima kasih kepada Perdana Menteri kerana mengumumkan sebanyak RM160 juta yang akan diberikan kepada industri kreatif dan kita boleh lihat ada penambahan sebanyak RM5 juta.
"Terima kasih atas keprihatinan kerajaan, semoga dana yang diberikan dapat dimanfaatkan untuk mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan," katanya.
Sumber: Berita Harian
Pautan: https://www.bharian.com.my/hiburan/selebriti/2024/10/1313774/misi-perkasa-16000-anak-muda