kbs Agensi di bawah Kementerian Belia dan Sukan Malaysia 
A A  Arial | PT Sans | Century
 Bahasa lain   carian
faq hubungi hubungi hubungi

Belanjawan 2025: Program Belia Kreatif MADANI bakal lahirkan lebih ramai pencipta kandungan

KUALA LUMPUR: Peruntukan RM30 juta untuk menganjurkan program Belia Kreatif MADANI seperti yang diumumkan dalam pembentangan Belanjawan 2025 oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim membuktikan kerajaan menyokong penuh usaha menarik minat generasi muda menceburi bidang seni kreatif.

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), Datuk Azmir Saifuddin Mutalib berkata, kerajaan percaya proses memupuk minat perlu dilakukan lebih awal kerana golongan belia adalah pelapis kepada penggiat seni kreatif yang sedia ada.

"Cadangan menganjurkan program Belia Kreatif MADANi ini juga adalah hasil inisiatif dan cetusan idea Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil.

"Di bawah FINAS memang tiada program khusus untuk belia. Kami juga sudah mengadakan perbincangan dengan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan Majlis Belia Negara.

"Memandangkan KBS belum ada program berunsur kreatif seperti ini dan fokus mereka hanya pada sukan, jadi kami hantar kertas cadangan pada mereka untuk diteliti.

"Kita sedar golongan belia adalah pelaburan masa depan. Seiring perkembangan media sosial seperti TikTok, kita lihat banyak golongan belia sudah menjadi pencipta kandungan.

"Apa yang kita ingin lakukan adalah untuk membabitkan mereka dengan projek kita," katanya kepada BH Online.

Jumlah RM30 juta itu termasuk dalam peruntukan RM160 juta yang disediakan kerajaan untuk penggiat seni.

Pecahan lain adalah RM65 juta untuk Dana Kandungan Digital (DKD), Insentif Penerbitan Filem di Malaysia (RM40 juta) dan MyCreative Ventures (RM25 juta).

Azmir menambah, bengkel yang bakal bermula tahun depan itu bakal dimanfaatkan hampir 16,000 anak muda di seluruh negara.

"Program ini akan dilaksanakan ke seluruh negara. Kami akan pergi ke setiap negeri dan bertemu dengan golongan belia yang cukup kreatif untuk bantu bimbing mereka menggunakan teknologi dan mengajar bagaimana mahu menyediakan kandungan dengan cara betul.

"Kami juga akan pastikan pengisian kandungan itu mempunyai jati diri, memiliki unsur kenegaraan, mempromosikan Malaysia dan sarat mesej positif.

'Sebelum ini, kami sudah ada program 'pilot' dan disebabkan itu, FINAS nak perluaskan ke seluruh Malaysia," jelas Azmir," katanya.

Menerusi pembentangan dibuat di Dewan Rakyat, Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, aktiviti yang akan dilaksanakan menerusi bengkel adalah kemahiran videografi kandungan kreatif, pembangunan komuniti filem dan pertandingan filem pendek.

Mengenai peruntukan RM65 juta bagi Dana Kandungan Digital (DKD), Azmir menyifatkan ia sebagai insentif untuk menggalakkan lebih banyak filem berkonsepkan kenegaraan dihasilkan.

"Selalunya DKD ada banyak pecahan dan perincian seperti apakah program yang ada dalamnya, ini hanya akan diketahui minggu depan.

"Tapi, apa yang pastinya program ini akan diteruskan tahun depan dan bertemakan kenegaraan," ujarnya.

Sumber: Berita Harian

Pautan: https://www.bharian.com.my/hiburan/selebriti/2024/10/1312980/belanjawan-2025-program-belia-kreatif-madani-bakal-lahirkan-lebih

RAKAN STRATEGIK IYRES

iyres.svg

INSTITUT PENYELIDIKAN PEMBANGUNAN BELIA MALAYSIA

Aras 10, Menara KBS, No. 27 Persiaran Perdana, Presint 4,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62570 Putrajaya.

Tel : +603-8871 3417 
Faks : +603-8871 3342 
Emel : info[at]iyres.gov.my

Image
Image
Image
Image

© 2023 Institut Penyelidikan Pembangunan Belia Malaysia (IYRES)
Hak cipta terpelihara. Paparan terbaik pada versi terkini Chrome, Firefox, Edge, Safari.