kbs Agensi di bawah Kementerian Belia dan Sukan Malaysia 
A A  Arial | PT Sans | Century
 Bahasa lain   carian
faq hubungi hubungi hubungi

TVET kunci keluar daripada kemiskinan

PUTRAJAYA: Seorang pakar pendidikan menggesa supaya usaha menyeluruh diadakan untuk merombak imej Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dengan menekankan peranan pentingnya sebagai jalan keluar daripada kemiskinan.

Ketua Pegawai Jenama Kumpulan Universiti Limkokwing, Datuk Tiffanee Marie Lim, berkata pendidikan secara umumnya adalah satu-satunya penyelesaian yang mampan untuk memecahkan kitaran kemiskinan dan ketidaksamaan.

"TVET adalah asas bagi menyediakan belia untuk pasaran pekerjaan, tetapi kami masih menghadapi cabaran mengatasi persepsi lapuk," katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan sempena Sidang Kemuncak Tadbir Urus Pelajar Komanwel (CSGS) 2024 yang diadakan di Cyberjaya baru-baru ini.

Beliau juga menekankan jurang kekayaan yang ketara dalam 56 negara Komanwel, menggesa organisasi itu untuk mengambil peranan lebih proaktif bagi menangani ketidaksamaan yang semakin meningkat ini.

"Dalam 56 negara Komanwel, kita melihat julat yang luar biasa - daripada yang terkaya dalam kalangan yang kaya ke negara yang masih di peringkat awal, bergelut untuk memantapkan diri.

"Mendiang ayah saya pernah berkata, 'Tiada kekayaan bersama dalam Komanwel,' dan itu masih benar. Jurang kekayaan dalam kumpulan negara ini amat besar, dan negara-negara Komanwel harus lebih agresif dalam menanganinya," tambah beliau.

Sementara itu, Pengarah Pembinaan YTL dan Pengerusi Women in Rail Malaysia, Natasha Zulkifli, menggesa lebih banyak usaha dijalankan untuk menyokong TVET di Malaysia sambil menekankan bahawa negara ini tidak melakukan secukupnya untuk memanfaatkan potensi pendidikan vokasional.

Beliau menambah bahawa mewujudkan kurikulum TVET yang mantap memerlukan bukan sahaja dedikasi tetapi juga kerjasama dengan sektor perusahaan bagi menangani keperluan industri untuk 20 tahun akan datang.

"Rancangan Malaysia ke-12 kerajaan mempunyai strategi pembangunan jangka panjang, tetapi ia mesti menggabungkan keperluan vokasional untuk memastikan keberkesanannya," katanya.

Sidang Kemuncak Tadbir Urus Pelajar Komanwel 2024 dihoskan oleh Universiti Limkokwing dari 15 hingga 17 Nov sempena Hari Pelajar Antarabangsa itu menghimpunkan pemimpin belia, pendidik dan penggubal dasar global.

Acara ini meletakkan Malaysia sebagai hab perbincangan mengenai peranan TVET dalam melengkapkan pelajar dengan kemahiran praktikal dan sedia kerja untuk pasaran buruh yang berubah-ubah. – BERNAMA

Sumber: BERNAMA & Berita Harian

Pautan: https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2024/11/1326054/tvet-kunci-keluar-daripada-kemiskinan

RAKAN STRATEGIK IYRES

iyres.svg

INSTITUT PENYELIDIKAN PEMBANGUNAN BELIA MALAYSIA

Aras 10, Menara KBS, No. 27 Persiaran Perdana, Presint 4,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62570 Putrajaya.

Tel : +603-8871 3417 
Faks : +603-8871 3342 
Emel : info[at]iyres.gov.my

Image
Image
Image
Image

© 2023 Institut Penyelidikan Pembangunan Belia Malaysia (IYRES)
Hak cipta terpelihara. Paparan terbaik pada versi terkini Chrome, Firefox, Edge, Safari.