kbs Agensi di bawah Kementerian Belia dan Sukan Malaysia 
A A  Arial | PT Sans | Century
 Bahasa lain   carian
faq hubungi hubungi hubungi

Majoriti kes bunuh diri babitkan lelaki

PUTRAJAYA: Lebih 80 peratus daripada 5,857 kes bunuh diri yang dilaporkan di negara ini membabitkan golongan lelaki terutama dalam kalangan belia dan bekerja, secara tidak langsung mencerminkan trend yang membimbangkan.

Data berdasarkan angka bagi tempoh 2020 hingga Oktober lalu itu dikongsikan Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada Persidangan Meja Bulat Belia Bantuan Awal Menangani Bunuh Diri Belia yang diadakan secara tertutup di sini, hari ini.

Berdasarkan data itu, sejumlah 1,813 kes membabitkan belia berusia antara 15 hingga 30 tahun.

Ditemui selepas persidangan terbabit, Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh, berkata dapatan awal berdasarkan kes yang dikongsikan menunjukkan majoriti mangsa terdiri daripada golongan lelaki, namun masih banyak kes yang tidak dilaporkan.

Beliau turut menyuarakan kebimbangan bahawa laporan media yang tidak sensitif berisiko mencetuskan insiden 'copy cat'.

"Kita tak ada angka (yang tepat) kerana banyak kes (cenderung bunuh diri) tidak dilaporkan dan apabila sudah menjadi kes bunuh diri, baru kita dapat data, kebanyakannya mangsa adalah lelaki dan sebab itu kita amat bimbang dengan laporan media kerana ia mendorong kepada berlakunya 'copy cat'.

"Apa yang kita nak adalah pelbagai pihak, keseluruhan ekosistem perlu diadakan latihan kerana pihak yang terjejas bukan sahaja pelajar sekolah tetapi kebanyakannya adalah golongan belia yang bekerja," katanya.

Yeoh berkata, isu stigma kekal menjadi cabaran utama apabila belia yang cuba mendapatkan bantuan sering dilabel termasuk oleh pensyarah, rakan sekerja, guru, malah ahli keluarga.

"Kita mendengar sendiri testimoni bahawa ada belia takut mendapatkan bantuan kerana bimbang masalah mereka dibincangkan dalam bilik guru atau tempat kerja.

"Ada yang diejek dengan istilah seperti 'gila' atau 'perlu makan ubat'. Ini bukan bahan jenaka kerana ia soal hidup dan mati," katanya.

Beliau berkata, stigma yang turut wujud di tempat kerja dan institusi pendidikan menyebabkan ramai belia memilih untuk berdiam diri.

Malah, kebanyakan pemanggil talian bantuan terutama lelaki sering meletakkan telefon berulang kali sebelum berani bercakap, menunjukkan mereka berada dalam keadaan terdesak.

"Kita hantar kaunselor ke sekolah tetapi data menunjukkan ramai yang terjejas adalah anak muda yang bekerja. Sebab itu kita merasakan majikan juga perlu diberi latihan berkaitan isu ini," katanya.

Yeoh berkata, terdapat kes di mana individu menghabiskan masa sehingga setahun mencari bantuan sebelum mendapat rawatan tepat dan ada yang akhirnya menjadi sebahagian daripada statistik kerana tersalah rujuk atau menerima label negatif.

Katanya, selain belia, data turut menunjukkan peningkatan kes membabitkan kanak-kanak dan warga emas dengan Selangor direkodkan sebagai negeri tertinggi kes bunuh diri diikuti Johor, Kuala Lumpur dan Pulau Pinang.

 

Sumber: Berita Harian (Majoriti kes bunuh diri babitkan lelaki)

RAKAN STRATEGIK IYRES

iyres.svg

INSTITUT PENYELIDIKAN PEMBANGUNAN BELIA MALAYSIA

Aras 10, Menara KBS, No. 27 Persiaran Perdana, Presint 4,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62570 Putrajaya.

Tel : +603-8871 3417 
Faks : +603-8871 3342 
Emel : info[at]iyres.gov.my

Image
Image
Image
Image

© 2026 Institut Penyelidikan Pembangunan Belia Malaysia (IYRES)
Hak cipta terpelihara. Paparan terbaik pada versi terkini Chrome, Firefox, Edge, Safari.