- Laman Utama
- Berita Terkini
- Persidangan Sains Polisi Pembangunan Belia Malaysia
Persidangan Sains Polisi Pembangunan Belia Malaysia

PUTRAJAYA, 30 APRIL 2026 – Institut Penyelidikan Pembangunan Belia Malaysia (IYRES), Kementerian Belia dan Sukan (KBS) telah menganjurkan Persidangan Sains-Polisi Pembangunan Belia Malaysia sebagai platform strategik yang menghimpunkan pembuat dasar, ahli akademik, pemimpin belia dan pelbagai pemegang taruh bagi membincangkan reformasi pembangunan belia negara secara lebih menyeluruh. Persidangan yang bermula seawal jam 9.30 pagi dengan ucapan perasmian oleh YBrs. Encik Abdullah Hasan, Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan), Kementerian Belia dan Sukan.
Persidangan tersebut merekodkan kehadiran keseluruhan seramai 130 peserta melibatkan wakil agensi/jabatan, wakil persatuan dan NGO. Kehadiran ini mencerminkan minat dan komitmen tinggi pelbagai sektor terhadap usaha memperkukuh pembangunan belia Malaysia melalui pendekatan berasaskan sains polisi.
Persidangan ini menampilkan pelbagai pembentangan utama termasuk Memperkasa Belia, Menjana Kesejahteraan Malaysia oleh YBrs. Dr. Muhamad Fuad Abdul Karim dari UiTM, Ekosistem Pembangunan Belia di Malaysia oleh YBrs. Dr. Nazira Abdul Rahman, Setiausaha Bahagian Dasar & Perancangan Strategik KBS, Dasar dan Penglibatan Akar Umbi bagi Kesejahteraan Belia oleh YBrs. Dr. Syafiqah Abdul Rahim dari UKM, serta Masa Depan Belia Malaysia oleh Encik Ahmad Fawwaz Ahmad Shukri daripada Adab Youth Garage (AYG). Pembentangan ini memberi fokus kepada pengukuhan dasar, kesejahteraan serta hala tuju masa depan generasi belia negara.
Pada sebelah petang, Forum Reformasi Pembangunan Belia Malaysia menjadi pengisian utama dengan penglibatan panel terdiri daripada Encik Shamsuhaime Basir (Jabatan Belia dan Sukan Negara), Puan Hazami Habib (Akademi Sains Malaysia) dan Encik Syed Salleh Syed Sulaiman (Kelab Mycorps Malaysia), yang dikendalikan oleh moderator iaitu Encik Shah Romnizam Ramli, Eksekutif Penyelidik Kanan IYRES.
Forum ini menjadi medan penting untuk membincangkan strategi, cabaran serta inovasi dalam memperkukuh pembangunan belia berteraskan penyelidikan, dasar strategik dan penglibatan akar umbi. Penganjuran persidangan ini mencerminkan komitmen berterusan IYRES dan KBS dalam memperkasa pembangunan belia berasaskan bukti, penyelidikan serta kerjasama rentas sektor demi menjana kesejahteraan belia Malaysia yang lebih mampan.
Program berakhir pada jam 4.45 petang dengan pembentangan rumusan dan ucapan penutupan oleh Puan Shahhanim Yahya, Eksekutif Penyelidik Kanan 1, IYRES.