- Laman Utama
- Berita Terkini
- Kolaborasi IYRES Dan UNICEF Malaysia Dalam Penyelidikan Pembangunan Belia
Kolaborasi IYRES Dan UNICEF Malaysia Dalam Penyelidikan Pembangunan Belia
PUTRAJAYA, 5 SEPTEMBER 2017 – Institut Penyelidikan Pembangunan Belia Malaysia (IYRES) sekali lagi telah melakar sejarah baru dalam bidang penyelidikan apabila telah diberi kepercayaan oleh pihak United Nations Children’s Fund (UNICEF), Malaysia untuk bersama-sama melaksanakan Kajian Polling berkaitan isu belia di Malaysia dengan menandatangani satu Surat Persefahaman (LoU) pada hari ini. Kajian Polling ini akan menggunakan platform U-Report Malaysia yang telah dibangunkan oleh pihak UNICEF, Malaysia yang mana sistem ini menggunakan media sosial seperti Facebook dan Twitter serta aplikasi Sistem Pesanan ringkas (SMS) sebagai medium untuk membuat tinjauan dan soal selidik dalam kalangan belia.
Satu bengkel pembinaan instrumen dan sesi pengujian sistem turut dilaksanakan sebelum sesi penyerahan LoU dengan menjadikan isu ‘Negaraku’ sebagai projek rintis sempena dengan sambutan Bulan Kemerdekaan Malaysia yang ke 60 tahun. Kajian ini dibuat adalah bagi mengukur sejauh mana tahap semangat bangsa Malaysia dalam kalangan belia.
Sesi pertukaran LoU antara YBrs. Dr. Zainah Shariff, Ketua Pegawai Eksekutif IYRES dan En. Keith Woo, wakil UNICEF Malaysia selaku Pengurus Projek U-Report telah disaksikan oleh YBhg. Dato’ Lokman Hakim Ali, Ketua Setiausaha Kementerian Belia dan Sukan dan YBhg. Dato’ Adnan Hj. Abu Hassan, Pengerusi Lembaga Pengarah IYRES.
Semua belia adalah diharap dapat mengambil bahagian dalam polling tersebut dengan melayari www.fb.com/UReportMalaysia dan hantar private message (PM/Inbox) NEGARAKU; atau follow U-Report Malaysia di Twitter dan direct message (DM) NEGARAKU; atau SMS NEGARAKU ke 69898.
Disediakan oleh:
Siti Nur Hidayah Ismail
sitinurhidayah[at]iyres.gov.my
Disunting oleh:
Zuarini Jumai
zuarini[at]iyres.gov.my