- Laman Utama
- Berita Terkini
- GO DIGITAL ASEAN LATIH 15,000 BELIA USAHAWAN MIKRO DI MALAYSIA
GO DIGITAL ASEAN LATIH 15,000 BELIA USAHAWAN MIKRO DI MALAYSIA
KUALA LUMPUR - Program Go Digital ASEAN, yang memfokuskan untuk merapatkan jurang digital di seluruh rantau itu, telah dilancarkan di Malaysia dan bakal menyediakan latihan kepada 15,000 belia dan pengusaha mikro, kecil dan sederhana di seluruh negara.
Dalam satu kenyataan pada Isnin, Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) berkata program itu yang dilancarkan oleh menterinya Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar, akan membantu memastikan kelangsungan dan kesinambungan perniagaan, terutamanya dalam menghadapi pandemik Covid-19.
The Asia Foundation - dengan sokongan geran bernilai ASD$3.3 juta daripada badan filantropi Google, Google.org - akan bekerjasama dengan Jawatankuasa Penyelaras ASEAN untuk Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (ACCMSME) untuk melatih sehingga 200,000 orang dari kawasan luar bandar dan masyarakat yang kurang berkemampuan.
Di Malaysia, rakan pelaksana terpilih, International Youth Center dan Startup Malaysia, akan menggunakan sebahagian daripada dana tersebut untuk menghasilkan modul latihan literasi digital dengan tujuan untuk melatih 15,000 belia dan pengusaha mikro, kecil dan sederhana, dengan 50 peratus daripadanya adalah wanita.
Menurut kementerian itu, latihan tersebut akan tertumpu pada kemahiran seperti membuat profil dalam talian di platform rangkaian profesional, menjalankan perniagaan dalam talian melalui media sosial dan menggunakan portal pekerjaan untuk meningkatkan kebolehkerjaan.
“Kerjasama antara Jawatankuasa Penyelaras ASEAN untuk Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (ACCMSME) dan The Asia Foundation, dengan sokongan Google.org, menyumbang kepada pengembangan kapasiti perusahaan ASEAN, Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana dalam digitalisasi dan akan membantu mewujudkan integrasi digital rantau ini seperti yang diharapkan oleh ASEAN Digital Intergration Framework (DIF),” kata Wan Junaidi.
Sementara itu, Presiden The Asia Foundation David D. Arnold berkata inisiatif tersebut merupakan kerjasama pertama seumpamanya, mengumpulkan kepakaran dan pendekatan daripada sektor kerajaan, perniagaan, dan NGO — untuk membantu merapatkan jurang digital.
MEDAC menjelaskan sejajar dengan ekonomi digital ASEAN yang terus berkembang, Malaysia juga banyak mempromosikan digitalisasi sebagai salah satu langkah untuk memastikan kelangsungan dan kesinambungan perniagaan, terutamanya dalam menghadapi pandemik Covid-19.
Namun, kerajaan tidak dapat melakukan usaha itu sendirian dan akan memerlukan sokongan serius oleh pengusaha mikro, kecil dan sederhana sendiri.
Menurut hasil tinjauan post-Covid-19 yang dilakukan oleh MEDAC pada Ogos 2020, lebih banyak yang perlu dilakukan oleh PKS dari segi usaha digitalisasi agar Malaysia menjadi sebahagian daripada ekonomi digital yang sedang berkembang.
Daripada 2,118 responden perniagaan, 45.76 peratus telah melaksanakan e-dagang manakala hanya 19.02 peratus yang menggunakan teknologi dan digitalisasi.
Selanjutnya, Kajian Indeks Kesediaan Digital Maxis bertarikh 23 November 2020 juga melaporkan bahawa hanya purata 42 peratus PKS yang bersedia untuk digitalisasi.
“Kejayaan kerjasama antara sektor awam dan swasta dalam melaksanakan integrasi digital ini di rantau ini akan membantu merapatkan jurang literasi digital dan boleh membawa peluang dan ganjaran baru bagi PKS di Malaysia dan ASEAN,” katanya. - Bernama
Sumber : Sinar Harian
Pautan : https://www.sinarharian.com.my/article/120869/BISNES/Go-Digital-ASEAN-latih-15000-belia-usahawan-mikro-di-Malaysia