- Laman Utama
- Berita Terkini
- KOLABORASI STRATEGIK INSTITUT PENYELIDIKAN PEMBANGUNAN BELIA MALAYSIA (IYRES) DAN UNIVERSITI MALAYSIA PAHANG (UMP) DALAM PEMBANGUNAN KESEJAHTERAAN BELIA MALAYSIA
KOLABORASI STRATEGIK INSTITUT PENYELIDIKAN PEMBANGUNAN BELIA MALAYSIA (IYRES) DAN UNIVERSITI MALAYSIA PAHANG (UMP) DALAM PEMBANGUNAN KESEJAHTERAAN BELIA MALAYSIA
PUTRAJAYA, 18 November 2021 - Satu memorandum persefahaman (MOU) kerjasama strategik dimeterai antara Institut Penyelidikan Pembangunan Belia Malaysia (IYRES) dan Universiti Malaysia Pahang (UMP) yang berlangsung di Dewan Podium, menara Kementerian Belia Dan Sukan, Putrajaya hari ini.
Kerjasama ini dapat memberi faedah kepada kedua-dua pihak dalam menghasilkan output berpacukan sains data yang boleh dimanfaatkan oleh semua pemegang taruh khususnya dalam aspek pembangunan belia di negara ini. Menerusi usahasama ini juga, IYRES yang merupakan sebuah institusi penyelidikan di bawah Kementerian Belia dan Sukan akan memanfaatkan data hasil kajian pembangunan belia dan pihak UMP dapat berkongsi kepakaran khususnya dalam konteks sains data yang dapat menyumbang ke arah penyediaan data raya (big data).
Majlis MoU ini menyaksikan Pengerusi Lembaga Pengarah IYRES, YBrs. Dr. Muhammad Mahadi bin Mohamad dan YBhg. Prof. Dato’ Ts. Dr. Yuserrie bin Zainuddin yang menjalankan fungsi Naib Canselor UMP menandatangani dokumen MoU. Turut sama adalah Ketua Pegawai Eksekutif IYRES, YBrs. Dr. Vellapandian Ponnusamy dan Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UMP,YBhg. Prof. Ts. Dr. Kamal Zuhairi bin Zamli.
MoU ini juga merupakan satu bentuk kerjasama bersama untuk memenuhi tugas dan fungsi kedua-dua belah pihak dalam menjalankan inisiatif penyelidikan, analisis data, kepakaran, penerbitan serta dalam penganjuran bersama forum, siri diskusi, seminar dan latihan dalam Data Raya serta pembangunan belia.