kbs Agensi di bawah Kementerian Belia dan Sukan Malaysia 
A A  Arial | PT Sans | Century
 Bahasa lain   carian
faq hubungi hubungi hubungi

Isu Lepasan TVET Dapat Perhatian Ahli Parlimen Di Dewan Rakyat

20230307   tvet parlimen

 

KUALA LUMPUR, 6 Mac (Bernama) -- Isu lepasan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) di negara ini menjadi antara topik pada perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan 2023 yang memasuki hari kelima hari ini.

Dr Siti Mastura Muhammad (PN-Kepala Batas) mencadangkan supaya kerajaan memperkenalkan polisi wajib pengambilan lepasan TVET sebagai sebahagian daripada syarat untuk pelabur tempatan dan asing melabur dalam negara.

Beliau berkata pelajar TVET wajar diberikan peluang untuk berada dalam pasaran negara selaras dengan Ikhtiar Keenam Belanjawan 2023, iaitu memperkasa kerjasama awam dan swasta.

"Rata-rata mereka kreatif dan berkemahiran, cuma tidak diberikan peluang menerokai bidang kemahiran yang mereka ingini,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Sim Tze Tzin (PH-Bayan Baru) pula mahu Kementerian Sumber Manusia menetapkan gaji permulaan minimum yang munasabah kepada lepasan universiti daripada jurusan sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM) serta TVET.

"Apabila saya tamat pengajian 20 tahun yang lalu, gaji sebagai jurutera adalah RM2,000, sekarang (gaji) siswazah jurutera hanyalah RM2,500, ini langsung tidak masuk akal (kerana) lepasan TVET dalam jurusan STEM dapat gaji minimum RM1,500. Siapa nak pilih STEM?” soalnya.

Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (PN-Kuala Kangsar) menyuarakan pandangan supaya Kementerian Pendidikan (KPM) meneliti pelaksanaan TVET secara terperinci kerana terdapat institusi yang disifatkan kurang digunakan, selain data menunjukkan pelajar kurang berminat menyertai TVET.

"Selain kurangnya promosi, banyak pekerjaan dalam sektor gig juga dilihat menjadi faktor kepada belia kurang berminat untuk memasuki pengajian TVET ini. Saya harap perkara ini dapat diperhalusi," katanya.

Sementara itu, Sabri Azit (PN-Jerai) mencadangkan KPM untuk menaik taraf Sistem Pengurusan Identiti (idME) supaya mesra pengguna sekali gus memastikan keberkesanan proses pembelajaran.

"Isu yang sering dibangkitkan guru adalah sistem idME ini dilaporkan masih belum stabil dan sesuai untuk membuat pengisian termasuk markah ujian akhir sesi akademik. Situasi ini tidak termasuk trafik yang tinggi dan sepatutnya ia dilaksanakan di sekolah rintis terlebih dahulu,” katanya.

Persidangan dewan bersambung esok.

Sumber:  BERNAMA, Pautan : BERNAMA

RAKAN STRATEGIK IYRES

iyres.svg

INSTITUT PENYELIDIKAN PEMBANGUNAN BELIA MALAYSIA

Aras 10, Menara KBS, No. 27 Persiaran Perdana, Presint 4,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62570 Putrajaya.

Tel : +603-8871 3417 
Faks : +603-8871 3342 
Emel : info[at]iyres.gov.my

Image
Image
Image
Image

© 2023 Institut Penyelidikan Pembangunan Belia Malaysia (IYRES)
Hak cipta terpelihara. Paparan terbaik pada versi terkini Chrome, Firefox, Edge, Safari.