- Laman Utama
- Berita Terkini
- Sabah Sedia RM16.2 Juta Lahirkan Belia Berkualiti
Sabah Sedia RM16.2 Juta Lahirkan Belia Berkualiti
KUALA TERENGGANU: Kerajaan Sabah memperuntukkan RM16.2 juta untuk melahirkan kepemimpinan belia berkualiti tahun ini.
Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor, berkata golongan belia termasuk seluruh mahasiswa dan mahasiswi diminta merebut peluang melalui pelbagai inisiatif disediakan kerajaan.
Katanya, belia termasuk siswa dan siswi diminta tanamkan azam untuk kembali menabur bakti kepada masyarakat kerana kerajaan amat memerlukan khidmat bakti golongan berkenaan untuk membangunkan Sabah.
"Pada pembentangan belanjawan 2023, kita memperuntukkan RM16.2 juta untuk pelaksanaan program belia bagi melahirkan kepimpinan belia berkualiti.
"Kerajaan juga meneruskan agenda pelaksanaan hala tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) yang dilancarkan pada Mac 2021.
"Antara aspek diberi penekanan dan tumpuan kerajaan melalui SMJ adalah pembangunan modal ihsan ," katanya pada majlis berbuka puasa mahasiswa dan mahasiswi bersama Ketua Menteri di Pusat Konvensyen Taman Tamadun Islam (TTI) di sini, hari ini.
Teks ucapan Hajiji disampaikan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Dr Mohd Arifin Arif.
Pada majlis itu, seramai 500 mahasiswa dan mahasiswi Sabah yang menuntut di beberapa IPT di negeri ini hadir berbuka puasa.
Hajiji yang juga Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Sabah, berkata harapan kerajaan adalah melahirkan siswa dan siswi yang bukan sahaja berjaya dalam bidang akademik.
Sebaliknya, katanya, kerajaan juga mahu melahirkan mahasiswa dan mahasiswi yang memiliki sahsiah perilaku diri yang baik.
"Kerajaan Sabah membelanjakan RM44 juta untuk melaksanakan 10 inisiatif bantuan kepada pelajar, termasuk bantuan tunai pendaftaran institusi pengajian tinggi (IPT) secara sekali bayaran.
"Pelajar ditawarkan melanjutkan pengajian ke IPT juga turut menerima bantuan komputer riba melalui program Bantuan Ihsan Komputer (BAIK)," katanya.
Mengulas lanjut, Hajiji berkata, kerajaan Sabah sentiasa mendengar dan amat prihatin permasalahan dihadapi pelajar dan sentiasa berusaha untuk membantu.
Katanya, bagi memastikan suara siswa dan siswi diberi perhatian, kerajaan Sabah menyediakan pelbagai platform untuk menyuarakan pandangan.
"Antara platform disediakan adalah penubuhan Majlis Perundingan Pelajar Sabah (MPPS) dan Sekretariat Mahasiswa Sabah (SEMESTA) sebagai pengiktirafan kepada golongan anak muda terutama pelajar," katanya.
Sumber : Berita Harian. Pautan : Berita Harian