- Laman Utama
- Berita Terkini
- Atlet Muda, Belia Disaran Sertai Rakan Muda
Atlet Muda, Belia Disaran Sertai Rakan Muda
MELAKA: Atlet muda mahupun golongan belia berusia 15 hingga 30 tahun disaran membabitkan diri dalam program Rakan Muda yang dilancarkan kerajaan baru-baru ini.
Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkata, pelbagai akiviti disediakan dalam program berkenaan termasuk gaya hidup Rakan Litar, Rakan Demokrasi, Rakan Aktif, Rakan Bumi, Rakan Digital, Rakan Ekspresi, Rakan Muzik, Rakan Mahir, Rakan Niaga dan Rakan Prihatin.
Katanya, program berkenaan diberi nafas baharu selepas Rakan Muda pada 1994 yang ketika itu diperkenalkan untuk peringkat sekolah, namun kali ini khusus untuk belia berusia 15 tahun sehingga 30 tahun.
Menurutnya, semua kementerian akan mula menggunakan logo Rakan Muda dalam usaha mempromosi gaya hidup terbabit kepada golongan belia.
"Apa yang perlu dilakukan, golongan berkenaan diminta melayari laman sesawang Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan memilih negeri masing-masing untuk mendaftar.
"Mereka berpeluang menyertai program sepanjang tahun dan memperolehi ganjaran daripada Grab, Foodpanda, Lazada dan Shoppe.
"Ia sekali gus memberi ganjaran untuk belia menyertai program dalam masa sama memupuk perpaduan dalam kalangan orang muda di Malaysia. Saya percaya ramai ibu bapa sekarang pernah menyertai Rakan Muda, justeru sokongan mereka membolehkan program ini berjalan dengan lebih bagus," katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Kejohanan Wushu Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM)-Persekutuan Wushu Malaysia (WFM) di Bukit Serindit bermula Jumaat lalu.
Kejohanan berkenaan yang berakhir hari ini disertai 500 atlet daripada 16 kontinjen dari seluruh negara yang tampil dengan bakat dan kebolehan tersendiri.
Hannah berkata, sokongan ibu bapa di rumah amat dihargai kerana mereka membantu perkembangan prestasi cemerlang atlet.
Sumber : Berita Harian
Pautan : Berita Harian