kbs Agensi di bawah Kementerian Belia dan Sukan Malaysia 
A A  Arial | PT Sans | Century
 Bahasa lain   carian
faq hubungi hubungi hubungi

BUKAN TIDAK PATRIOTIK, ANAK MUDA PUNYA CARA TERSENDIRI TUNJUK CINTA NEGARA

 
 
14082023 patriotik
 
 
KUALA TERENGGANU: Generasi muda sering kali dilabel sebagai golongan yang lemah jati diri kenegaraan, kurang rasa cinta kepada negara dan tidak berjiwa patriotik.
 
Kajian Indeks Belia Malaysia 2022 oleh Institut Penyelidikan Pembangunan Belia Malaysia menyatakan tahap penyertaan belia dalam aktiviti politik, kenegaraan dan demokrasi sangat rendah dengan skor 34.66 iaitu tahap sangat tidak memuaskan.
 
Bagaimanapun, Ahli Majlis Perpaduan Negara Prof Datuk Dr Sivamurugan Pandian berpandangan adalah tidak wajar kumpulan itu terus digeneralisasikan dengan konotasi sedemikian dengan hanya bersandarkan tindak-tanduk negatif segelintir mereka.
 
"Memang ada yang sebilangannya terang-terangan di media sosial tunjuk tidak berbangga jadi rakyat Malaysia, malah ada yang perlekehkan lagu Negaraku dan kibarkan Jalur Gemilang secara terbalik.
 
"Tapi itu hanya sebahagian sahaja. Jangan dipukul rata semua anak muda sama dan jangan kata anak muda ini semangatnya tidak sama macam orang dulu-dulu," katanya kepada Bernama.
 
Yakin semangat kenegaraan anak muda kini setara dengan generasi terdahulu, Sivamurugan menjelaskan perbezaan zaman menjadi faktor utama kumpulan itu dianggap sedemikian, namun realitinya setiap generasi ada cara tersendiri untuk menzahirkan nilai kecintaan tersebut.
 
"Zaman beredar, pesaka bergilir. Setiap zaman ada cara untuk tunjukkan rasa cinta kepada negara dan generasi merdeka melihat kemerdekaan itu berdasarkan penderitaan hidup dijajah.
 
"Sebab itu mereka rasa perlu untuk tonjolkan semangat kemerdekaan dengan cara kalau Hari Kebangsaan mereka bersiap menyambutnya macam hendak bersanding pada hari perkahwinan," kata pensyarah Universiti Sains Malaysia (USM) itu.
 
Menyedari kepentingan menyesuaikan pengisian Hari Kebangsaan dengan kecenderungan anak muda masa kini, Majlis Belia Negeri Terengganu (MBNT) sedaya upaya merangka beberapa program yang menyasarkan penglibatan optimum golongan berkenaan.
 
Presidennya Anas Hazizul Muhamad berkata antaranya konvoi bermotosikal sambil bertemu tokoh-tokoh kemerdekaan dan veteran Terengganu.
 
Anas berkata MBNT turut mengadakan karnival di Institut Perguruan Besut beberapa bulan lepas untuk menceritakan sejarah kenegaraan yang memfokuskan kepada negeri Terengganu.
 
"Persatuan belia yang melibatkan 20 gabungan di setiap daerah akan mengadakan program tersendiri untuk menyuburkan rasa cinta anak muda kepada negara melalui konsep yang kena dengan cita rasa mereka seperti busking (persembahan muzik) dan kegiatan sukan," katanya.
 
Sementara itu, seorang pekerja swasta Muhammad Hafizuddin Yusof, 23, yang aktif dalam sukan maraton berkata dia telah beberapa kali melakukan larian 31.8 kilometer (km) pada setiap 31 Ogos sebagai simbolik rasa cintanya kepada negara.
 
"Saya mungkin bukan generasi yang lahir zaman melawan penjajah untuk menuntut kemerdekaan tapi itu tidak bererti saya tidak sayangkan Malaysia. Menerusi larian yang saya buat sambil membawa Jalur Gemilang, khusus saya anggap sebagai hadiah kecil saya untuk Malaysia.
 
"Saya hormat pendekatan sesetengah pihak yang tonjolkan semangat Hari Kebangsaan dengan mengenakan pakaian dengan motif Jalur Gemilang walaupun ada larangan terhadap perkara itu, tapi saya pilih cara sendiri," katanya yang turut merancang mengulangi larian itu tahun ini.
 
Jabatan Penerangan Malaysia (JaPen) menerusi e-buku jabatan itu memaklumkan penggunaan Jalur Gemilang untuk dibuat tudung, songkok, samping dan sebagainya tidak dibenarkan kerana ditafsirkan sebagai merendahkan martabat bendera negara itu, namun penggunaan warna asas dan motifnya dibolehkan.
 

Sambutan rasmi Hari Kebangsaan ke-66 tahun ini bertemakan 'Tekad Perpaduan Penuhi Harapan' bakal diadakan di Putrajaya. – BERNAMA

 

 

Sumber : Berita Harian

Pautan : Berita Harian

RAKAN STRATEGIK IYRES

iyres.svg

INSTITUT PENYELIDIKAN PEMBANGUNAN BELIA MALAYSIA

Aras 10, Menara KBS, No. 27 Persiaran Perdana, Presint 4,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62570 Putrajaya.

Tel : +603-8871 3417 
Faks : +603-8871 3342 
Emel : info[at]iyres.gov.my

Image
Image
Image
Image

© 2023 Institut Penyelidikan Pembangunan Belia Malaysia (IYRES)
Hak cipta terpelihara. Paparan terbaik pada versi terkini Chrome, Firefox, Edge, Safari.