- Laman Utama
- Berita Terkini
- Generasi Muda Harus Pertahan Nilai Kemanusian Dalam Rukun Negara
Generasi Muda Harus Pertahan Nilai Kemanusian Dalam Rukun Negara
ALOR GAJAH, 4 Sept (Bernama) - Generasi muda terutama pelajar harus menjalankan tanggungjawab mempertahankan nilai kemanusiaan yang ada dalam Rukun Negara, demi keharmonian dan kesejahteraan rakyat serta negara pada masa depan.
Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital Melaka Datuk Fairul Nizam Roslan berkata tanggungjawab itu, perlu dipikul sebaik-baiknya oleh generasi muda,kerana mereka akan mengambil alih tampuk kepimpinan sedia ada dan masa depan negara terletak di tangan mereka.
“Melalui amalan prinsip Rukun Negara yang diamal sejak dahulu, rakyat negara kita menjalani kehidupan dalam suasana muhibah, saling menghormati dan bersatu-padu, walaupun hidup dalam masyarakat berbilang bangsa dan agama.
Fairul Nizam berkata usaha yang lebih proaktif perlu dilaksanakan, bagi meningkatkan kefahaman dan penghayatan Rukun Negara dalam kalangan generasi muda dinegara ini, menerusi pelbagai program dan aktiviti di pelbagai peringkat institusi, termasuk di sekolah serta institusi pengajian tinggi.
Beliau berkata penubuhan Kelab Malaysiaku di peringkat sekolah juga merupakan salah satu inisiatif memupuk dan mendidik semangat jati diri, kerjasama, berdikari serta keyakinan diri, dalam kalangan ahli kelab khususnya pelajar melalui pelbagai aktiviti, motivasi dan ceramah.
Fairul Nizam berkata selain itu, penganjuran Pertandingan Sketsa Rukun Negara oleh Jabatan Penerangan dengan kerjasama Jabatan Pendidikan, merupakan kaedah pengajaran dan pembelajaran terbaik tentang Rukun Negara menerusi lakonan, malah mencungkil dan mengembangkan bakat generasi muda dalam bidang berkenaan.
Terdahulu, beliau berkata Pertandingan Sketsa Rukun Negara Peringkat Negeri Melaka disertai 46 sekolah menengah di negeri itu dan enam daripada sekolah berkenaan, terpilih untuk berentap di peringkat akhir hari ini.
Johan pertandingan sketsa berkenaan dirangkul oleh Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Ghafar Baba yang membawa pulang wang tunai RM2,000, piala dan sijil penghargaan, selain akan mewakili Melaka ke peringkat kebangsaan pada Oktober ini.
Naib johan pertandingan itu pula dimenangi SMK Ayer Molek manakala tempat ketiga dimenangi SMK Sungai Rambai.
Sumber : Bernama
Pautan : Bernama