- Laman Utama
- Berita Terkini
- Biasiswa Dari China Kepada Lepasan TVET Peluang Tingkat Kemahiran Secara Komprehensif
Biasiswa Dari China Kepada Lepasan TVET Peluang Tingkat Kemahiran Secara Komprehensif
MELAKA, 16 Jan (Bernama) - Tawaran biasiswa kepada 1,000 pelajar lepasan bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) untuk menjalani latihan kemahiran di China dilihat dapat memberi peluang kepada peserta meningkatkan kemahiran mereka secara lebih komprehensif.
Naib Canselor Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) Prof Datuk Dr Massila Kamalrudin berkata sebagai salah satu universiti di bawah Rangkaian Universiti-universiti Teknikal Malaysia (MTUN), inisiatif itu secara tidak langsung dapat membantu UTeM memperkasa bidang TVET secara lebih komprehensif khususnya dalam bidang 'advance manufacturing', 'computing technology' dan 'cyber security'.
"Tawaran biasiswa penuh daripada kerajaan China termasuk tiket penerbangan percuma ditaja oleh Majlis Amanah Rakyat (MARA) dilihat dapat menarik lebih banyak pelajar memilih melanjutkan pelajaran atau latihan dalam TVET sekali gus membantu negara mengeluarkan modal insan berteraskan bidang TVET.
"Justeru, UTeM berharap kuota biasiswa berkenaan dapat dibahagi secara rata dalam kalangan pelajar MTUN, dan UTeM menyambut baik inisiatif berkenaan serta akan menyokong usaha memperkasa TVET," katanya kepada Bernama di sini hari ini.
Beliau berkata demikian selepas Majlis Perasmian TVET Place and Train UTeM@KPT yang disempurnakan Timbalan Perdana Menteri yang juga Pengerusi Jawatankuasa Majlis TVET Negara Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Turut hadir Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Ab Rauf Yusoh, Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Zambry Abdul Kadir dan Pengerusi MARA Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.
Mengulas lanjut, Massila berkata UTeM telah menjalankan kolaborasi dengan syarikat terkemuka di China iaitu syarikat e-dagang Alibaba Group dan Taobao dalam usaha memperkasa kemahiran TVET.
"Menerusi kolaborasi itu, UTeM menghantar pelajar dan pensyarah kita ke China dan latihan yang ditawarkan ditaja sepenuhnya manakala UTeM menaja tiket kapal terbang," katanya.
Terdahulu pada majlis berkenaan, Ahmad Zahid mengumumkan kerajaan China menawarkan tambahan 1,000 biasiswa lagi kepada lepasan TVET untuk menjalani latihan di negara Tembok Besar itu.
Sumber : Bernama
Pautan : Bernama