kbs Agensi di bawah Kementerian Belia dan Sukan Malaysia 
A A  Arial | PT Sans | Century
 Bahasa lain   carian
faq hubungi hubungi hubungi

Dasar TVET Negara serampang dua mata pembangunan belia

20240528   dasar tvet

 

Rutin menghantar kereta bagi menukar minyak enjin ke bengkel berhampiran kediaman bulan lalu, memberi peluang penulis berbual dengan seorang mekanik berusia belasan tahun bekerja di situ.

Dalam perbualan pendek kami, anak muda lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) itu mengakui amat meminati bidang automotif dan bercita-cita untuk menguruskan bengkel sendiri satu hari kelak.

Secara spontan, terdetik di hati penulis betapa di luar sana pasti ramai anak muda sepertinya yang meminati kerja bersifat 'hands on', iaitu tunjang kepada Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).

Alangkah baiknya jika generasi anak muda itu mendapat pendidikan rasmi menerusi TVET yang boleh meningkatkan kemahirannya dalam bidang automatif, sekali gus merealisasikan impian bergelar usahawan atas usaha, keazaman dan titik peluh sendiri.

Dalam tempoh kurang sebulan lagi, negara bakal mempunyai Dasar TVET Negara 2030 yang berperanan sebagai penyatuan aspirasi dan hala tuju pelaksanaan pendidikan, dengan latihan merentasi pelbagai pemegang taruh.

Dasar TVET Negara akan dilancarkan sempena sambutan Hari TVET Negara yang bakal diadakan pada 7 hingga 8 Jun ini bertempat di Institut Latihan Perindustrian (ILP) Kuala Langat, Selangor.

Lebih istimewa, dasar kali pertama diperkenalkan itu dijadual dirasmikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, sekali gus mencerminkan kepentingan bidang berkenaan untuk dikembangkan sebagai antara penyumbang pertumbuhan negara dalam masa panjang.

Selepas 60 tahun TVET membangun secara formal di Malaysia, bermula dengan dua institusi awam iaitu ILP Kuala Lumpur dan Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Dusun Tua, kira-kira 1,345 institusi pendidikan itu kini dijangka dapat dipandu secara lebih lurus dan tersusun melalui dasar terbabit.

Dasar TVET Negara 2030 mengambil kira dasar sedia ada berkaitan dan bakal terangkum sebagai tiang pasak serba kukuh, antaranya Dasar Pendidikan Kebangsaan, Dasar Pendidikan Tinggi Nasional serta akta sedia seperti Akta Pendidikan 1996 (Akta 550), Akta Pembangunan Kemahiran Kebangsaan 2006 (Akta 652) dan Akta Agensi Kelayakan Malaysia 2007 (Akta 679).

Ia bermatlamat membawa Malaysia ke arah negara maju berpaksikan modal insan berkemahiran melalui pelaksanaan program TVET yang responsif, fleksibel dan inklusif.

Semestinya, besar harapan anak muda seperti mekanik ditemui penulis untuk menyumbang kepada kerancakan ekonomi negara melalui kemahiran mereka dalam bidang TVET, berlandaskan platform yang betul.

Tidak hanya anak muda, sandaran tinggi juga diberikan pihak industri melalui penggubalan dasar terbabit apabila mereka juga mahu dibekalkan dengan tenaga kerja berkualiti sebelum ini mungkin wujudnya ketidakpadanan dalam pasaran pekerjaan.

Ia diakui sendiri majikan yang mengharapkan wujud keperluan jelas ke arah meningkatkan kefahaman dan penghayatan potensi graduan TVET dalam sektor swasta.

Ubah persepsi mengenai TVET

Presiden Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF), Datuk Dr Syed Hussain Syed Husman, menjelaskan ia berikutan pengambilan graduan TVET dalam kalangan majikan sektor swasta masih rendah.

Beliau mahu dasar TVET memastikan institusi pendidikan itu menyelaraskan program mereka dengan keperluan semasa dan masa hadapan industri.

"Dengan memupuk perkongsian lebih kukuh antara institusi TVET dan majikan, dasar ini diyakini berupaya memudahkan pembangunan program memberikan kemahiran dan kecekapan berkaitan seperti mana dituntut pasaran kerja.

"Melalui kempen kesedaran dan usaha advokasi, Dasar TVET Negara boleh membantu mengubah persepsi mengenai TVET dan menonjolkan kepentingannya dalam menangani jurang kemahiran, memupuk pertumbuhan ekonomi dan paling utama mengurangkan kadar pengangguran," katanya.

Sehubungan itu, beliau mengakui dalam konteks ini, Dasar TVET Negara boleh memainkan peranan penting dalam mengukuhkan kedudukan industri di Malaysia dan meningkatkan tenaga kerja tempatan mahir.

TVET menawarkan laluan alternatif berharga untuk pelajar mungkin berdepan cabaran atau berasa tidak cemerlang dalam bidang akademik. TVET menyediakan pilihan berdaya maju untuk mereka meneruskan pendidikan dalam persekitaran pembelajaran yang lebih praktikal.

Hasilnya, TVET memperluaskan kumpulan individu mahir memasuki tenaga kerja serta menyumbang kepada pasaran buruh dengan kepelbagaian kemampuan dan berbakat.

Paling utama, seperti diakui Syed Hussain, anak muda menceburi TVET akan bergerak dalam kelompok benar-benar meminati bidang diceburi dan dengan minat, kebarangkalian untuk mereka mencapai kejayaan adalah lebih besar kerana semuanya dilakukan secara rela.

Ketika ini, kesinambungan usaha memantapkan TVET dilaksanakan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahidi yang kini berada di China hingga 1 Jun, antara lain bagi meningkatkan kerjasama TVET bersama negara Tembok Besar itu, membabitkan pertukaran pengetahuan dan amalan terbaik.

Sehingga kini, dilaporkan seramai 850 orang menjalani latihan di beberapa Institusi TVET China dalam bidang seperti teknologi kereta api, robotik, kecerdasan buatan (AI), internet benda (IOT), kenderaan elektrik (EV), multimedia animasi dan e-dagang.

Bagi Presiden Persatuan Jurutera Malaysia, Datuk Feroz Hanif Mohamed Ahmad, pihaknya mahu TVET berperanan bukan sahaja sebagai saluran berkesan memproses dan menghasilkan tenaga mahir tempatan, malahan juga enjin pembangunan negara.

Harapannya, TVET tidak lagi disalah anggap sebagai bidang terakhir yang menjadi pilihan dalam meneruskan pengajian.

"Dalam memenuhi hasrat meningkatkan ekonomi dalam rantaian nilai untuk menjadi ekonomi berpendapatan tinggi, Malaysia mesti menambah enrolmen dalam TEVT dan meningkatkan kualiti latihan secara keseluruhan.

"Sekiranya perubahan ini tidak dilakukan dengan segera, negara dikhuatiri menjadi tidak kompeten di peringkat global dan akan terus ketinggalan," katanya.

 

Sumber : Berita Harian

Pautan berita : https://www.bharian.com.my/rencana/lain-lain/2024/05/1252273/dasar-tvet-negara-serampang-dua-mata-pembangunan-belia

RAKAN STRATEGIK IYRES

iyres.svg

INSTITUT PENYELIDIKAN PEMBANGUNAN BELIA MALAYSIA

Aras 10, Menara KBS, No. 27 Persiaran Perdana, Presint 4,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62570 Putrajaya.

Tel : +603-8871 3417 
Faks : +603-8871 3342 
Emel : info[at]iyres.gov.my

Image
Image
Image
Image

© 2023 Institut Penyelidikan Pembangunan Belia Malaysia (IYRES)
Hak cipta terpelihara. Paparan terbaik pada versi terkini Chrome, Firefox, Edge, Safari.