- Laman Utama
- Berita Terkini
- KBS teroka kursus baharu TVET berkaitan sukan - Hannah
KBS teroka kursus baharu TVET berkaitan sukan - Hannah
KAJANG, 10 Julai (Bernama) -- Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menumpukan usaha meneroka dan memperkenalkan kursus-kursus baharu dalam bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) yang berkaitan dengan sukan.
Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh berkata usaha itu juga penting bagi memastikan bidang TVET di KBS lebih berfokus selain tidak bertindih dengan bidang TVET yang ditawarkan di kementerian lain.
Beliau berkata usaha itu juga akan membuka peluang kepada belia termasuk golongan banduan belia di penjara menerusi projek Reben Kuning untuk meningkatkan kemahiran mereka dalam bidang berkaitan sukan.
“TVET kami lebih berkaitan sukan. Sebagai contoh kita sudah tawarkan kemahiran urutan sukan, kedi golf… kita sedang meneroka TVET berkaitan sukan supaya hala tuju itu berfokus.
“Kita tak akan cuba buat hospitaliti yang kementerian lain mungkin ada kemahiran lebih khas untuk TVET tersebut… kita pelbagaikan lagi khusus TVET,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri program Projek Reben Kuning peringkat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur 2024 di Penjara Wanita Kajang, di sini hari ini.
Turut hadir Ketua Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negara Mohd Azhari Mohammad dan Timbalan Komisioner Jeneral Penjara (Keselamatan dan Koreksional) Datuk Abdul Aziz Abdul Razak.
Hannah berkata KBS terus memperkasakan projek Reben Kuning untuk penghuni belia di penjara dan Sekolah Henry Gurney sebagai program ‘peluang kedua’ dengan menawarkan beberapa program latihan pembangunan kemahiran yang mempunyai pasaran kerjaya dan peluang keusahawanan.
“Misalnya hari ini, sebanyak 20 orang prospek belia wanita dari Penjara Wanita Kajang telah selesai mengikuti Kursus Terapi Urutan Sukan Golf dan Kursus Asas Operasi Kedi Golf di bawah Akademi Kemahiran Belia Golf (AKBG).
“Kita akan perbanyakkan lagi usaha ini supaya lebih ramai (penghuni penjara) boleh mengikuti kursus ini… malah melalui perbincangan saya dengan kesatuan golf di luar juga, industri sukan ini memerlukan ramai kedi golf untuk bekerja dan ini adalah satu kesepadanan yang telah berlaku,” katanya.
Selain itu, Hannah berkata KBS juga akan memperluaskan pelaksanaan program Rakan Muda di semua penjara di negara ini melibatkan penyertaan banduan belia sebagai program pengisian masa lapang.
“Paling sesuai untuk mereka ialah Rakan Mahir, Rakan Aktif dan juga Rakan Prihatin iaitu kita nak belia di luar sana yang mempunyai kemahiran berkongsi (kemahiran) dengan mereka,” katanya.
Beliau berkata inisiatif berkenaan adalah hala tujuh baharu KBS supaya kursus kepimpinan belia tidak hanya tertumpu kepada kelompok utama 10 peratus tetapi peluang itu turut dinikmati 90 peratus belia yang lain.
Sumber : BERNAMA
Pautan : https://www.bernama.com/bm/am/news.php?id=2316107