- Laman Utama
- Berita Terkini
- Mengamankan Masa Depan: Bagaimana Belia Malaysia Mencapai Jaminan Kewangan
Mengamankan Masa Depan: Bagaimana Belia Malaysia Mencapai Jaminan Kewangan
Dalam landskap ekonomi yang dinamik masa kini, kestabilan kewangan generasi muda kita adalah lebih penting dari sebelumnya. Indeks Belia Malaysia (IBM) telah menjadi mekanisme yang penting dalam menilai kesejahteraan ekonomi generasi muda kita. Dapatan IBM pada tahun 2021, 2022 dan 2023 melaporkan, skor untuk penunjuk Jaminan Kewangan telah menunjukkan perubahan yang ketara - dari 50.45 pada tahun 2021, menurun ke 41.67 pada tahun 2022, dan meningkat semula ke 57.80 pada tahun 2023. Walaupun terdapat peningkatan pencapaian, namun tahap jaminan kewangan masih ditahap kurang memuaskan. Angka-angka ini bukan sekadar statistik; malah merupakan cerminan harapan, cabaran, dan aspirasi belia Malaysia.
Penelitian terhadap trend ini menunjukkan keperluan untuk intervensi yang disasarkan dan diberi pemerhatian yang khusus. Penurunan pada tahun 2022 mendorong penilaian semula strategi dan membawa kepada pendekatan yang lebih praktikal dalam pendidikan kewangan. Program khusus yang memberi penekanan kemahiran praktikal seperti bajet, simpanan, dan pelaburan telah diperkenalkan, khususnya bagi menangani cabaran kewangan yang dihadapi oleh generasi belia selama tempoh tersebut.
Kajian dan mekanisme maklum balas secara berkala telah diwujudkan untuk memantau pemahaman dan sikap belia terhadap kestabilan kewangan. Instrumen ini menyediakan data tahunan, membolehkan penyesuaian strategi dengan efektif. Selain itu, sistem sokongan termasuk perkhidmatan kaunseling dan nasihat telah diperkasakan bagi menawarkan jaringan keselamatan ketika kestabilan kewangan semakin mencabar masa kini.
Trend pekerjaan dan ekonomi kini dipantau lebih kerap dan terperinci. Kewaspadaan ini membantu memahami kesan faktor luaran ini terhadap kestabilan kewangan belia dan menyesuaikan intervensi kepada iklim ekonomi semasa. Inisiatif yang ketara adalah kerjasama dengan institusi kewangan untuk mencipta produk dan perkhidmatan kewangan yang mesra belia. Usaha ini bertujuan untuk mendorong budaya simpanan dan pelaburan dalam kalangan belia.
Penerimaan dan pengguna teknologi telah memainkan peranan penting. Tambahan pula, peranti digital dan aplikasi untuk pendidikan serta pengurusan kewangan menjadi semakin popular dan menawarkan cara yang mudah dan efisien bagi belia untuk mengesan serta mengurus kewangan mereka, dan menyediakan data berharga untuk menganalisis perilaku kewangan.
Penyebarluasan untuk dasar yang menyokong kestabilan kewangan belia telah mendapat momentum. Bukan sahaja perbincangan mengenai reformasi pinjaman malah insentif untuk belia adalah lebih menonjol daripada sebelumnya. Program intervensi yang ditambahbaik, dengan pelbagai demografi juga telah diperkenalkan. Program-program ini memberi penekanan kepada faktor seperti umur, tahap pendidikan dan status pekerjaan untuk menangani keperluan unik kumpulan belia yang berbeza.
Tambahan pula, skor yang berubah dalam IBM selama tiga tahun, 2021-2023 adalah lebih daripada sekadar nombor dan menjadi pemangkin terhadap perubahan, seruan untuk bertindak serta hala tuju untuk masa depan generasi belia dan negara. Dalam mengembangkan dan menyesuaikan strategi secara bersepadu dan komprehensif, tujuan tetap kukuh, untuk memastikan bahawa belia Malaysia bukan sahaja berdaya tahan tetapi belia juga berkembang maju dalam ekonomi yang sentiasa berubah.
Sumber: Berita Harian