- Laman Utama
- Berita Terkini
- Festival of Colours of The World 2013 di Perak berlangsung meriah
Festival of Colours of The World 2013 di Perak berlangsung meriah

Berita UTUSAN - 8 Mei 2013
|
Festival of Colours of The World 2013 di Perak berlangsung meriah IPOH 7 Mei - Acara tahunan penuh warna-warni di Universiti Teknologi Petronas (UTP), Festival of Colours of The World (Fesco) 2013 berlangsung cukup meriah selepas dihadiri lebih 2,000 penonton baru-baru ini. Dianjurkan Unit Kokurikulum di Jabatan Perkhidmatan Sokongan Pelajar, edisi kali keenam yang diadakan di Dewan Cancelor, UTP itu turut mendapat penyertaan sebanyak 14 universiti tempatan serta Universitas Gadjah Mada (UGM) dari Indonesia. Pengerusi Lembaga Pengarah Institut Teknologi Petronas Sdn. Bhd., Juniwati Rahmat Hussin berkata, festival berkenaan bertujuan memberi peluang kepada mahasiswa menonjolkan bakat mereka dalam bidang kesenian. "Acara ini sekali gus mampu memupuk apresiasi awam dalam bidang seni dan budaya Malaysia termasuk kesenian asing. "Petronas baru-baru ini turut menyumbang sebanyak RM100,000 kepada dua sekolah budaya di Johor dan Sarawak bagi menggalakkan pengekalan warisan negara," katanya. Beliau berucap merasmikan festival itu yang bertemakan Integrasi Menerusi Kesenian Budaya di kampus UTP di Seri Iskandar, di sini baru-baru ini. Yang turut hadir, bekas Ahli Parlimen Parit, Drs. Mohd. Nizar Zakaria serta bekas Pengerusi Jawatankuasa Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan negeri, Datuk Zainol Fadzi Paharudin. Dalam majlis itu, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam menerusi kumpulan Prisma Seni berjaya muncul juara dengan membawa pulang piala pusingan, trofi, wang tunai sebanyak RM2,000 beserta sijil penghargaan. Tempat kedua dan ketiga masing-masing dimenangi Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara) dan Sekolah Seni Johor Bahru, Johor. Selain itu, Universiti Sains Malaysia (USM) turut merangkul anugerah kategori Kostum Terbaik menerusi kumpulan Adikarma. Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my © Utusan Melayu (M) Bhd |