|
Teknologi untuk Generasi V
Oleh Ruhaiza Rusmin dan Ihsan Noorzali
SUDAH lebih sedekad dunia melangkah alaf baru menyaksikan sektor pendidikan negara berubah dengan suntikan pembaharuan mekanisme moden dalam sistem pembelajaran.
Penggunaan pembelajaran cara konvensional kini melangkah frasa baru dengan gandingan aplikasi sistem pembelajaran atas talian bagi menyaingi kepantasan ledakan teknologi semasa.
Walaupun dianggap tempoh percubaan, pembelajaran atas talian mampu mencetuskan fenomena baru kepada golongan sasaran.
Adakah pembelajaran baru ini akan mencantas pembelajaran konvensional di negara ini?
Bagaimana pula kemampuannya mengubah landskap dunia pendidikan negara seiring dengan pendekatan era moden?
Ketua Pegawai Maklumat, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Mohd Nazri Md Saad berkata, perubahan perlu dilakukan bagi mengimbangi tuntutan globalisasi namun masih mengutamakan kepentingan mana yang relevan.
“Perubahan tidak mampu dielakkan namun ia bukan secara mendadak tetapi berperingkat bagi mengelak sebarang masalah,” katanya.
Beliau berkata, perubahan awal dunia pendidikan negara bermula dengan usaha mengintegrasikan penggunaan teknologi seperti radio, televisyen dan video. Kemunculan teknologi Internet membawa perubahan yang ketara terutama ledakan Web 2.0.
“Kita dapat saksikan bagaimana perubahan awal dalam sistem pendidikan negara dengan penggunaan medium tertentu sebelum Internet mengambil alih bagi menyebarkan maklumat.
“Dulu, medium pembelajaran hanya bersifat sehala menjadikan pelajar sebagai penerima pasif tetapi sejajar tuntutan globalisasi, corak pembelajaran berubah, sekali gus menjadikan pelajar penyumbang aktif dalam pembelajaran dan pengajaran,” katanya.
Katanya, tiada persaingan antara pendidikan konvensional dan teknologi kerana kedua-duanya memberi manfaat.
“Pendidikan konvensional pendekatannya lain, begitu juga teknologi namun matlamatnya tetap sama iaitu sebagai pemangkin kepada kejayaan sistem pendidikan negara.
“Kaedah teknologi adalah satu alternatif baru kepada semua, khususnya dengan pelaksanaan Hybrid Learning yang menggabungkan pembelajaran bersemuka dengan pembelajaran dalam talian,” katanya.
Mengenai pro dan kontra modul penggunaan alat bantuan mengajar (ABM), beliau berkata, teknologi Internet sudah diintegrasikan pada kebanyakan ABM.
“ABM secara konvensional tidak relevan kepada generasi V (Virtual Generation) kerana perlukan modul pembelajaran interaktif.
“Justeru, pendidik tidak boleh memandang ringan dan perlu berfikir secara inovatif untuk mengintegrasikan perkongsian maklumat secara sihat.
“Pelajar generasi V sentiasa berkomunikasi di alam maya. Jika pendidik tidak peka, situasi ini akan menimbulkan masalah lain,” katanya.
Malah sistem pembelajaran atas talian, katanya, memberi ruang kepada pelajar mengulang kaji pembelajaran lebih fleksibel dan bebas berbincang dengan rakan maya serata dunia.
“Banyak manfaat sistem pembelajaran atas talian ini. Contohnya memudahkan pemahaman pembelajaran pelajar generasi V kerana mereka adalah peneraju penggunaan teknologi terkini.
“Pelajar juga akan lebih mudah memahami kandungan sesuatu subjek melalui alat bantu pengajaran menggunakan teknologi maklumat,” katanya.
Teori Pembelajaran Connectivism (atas talian) bermula sejak 2005 dengan pelaksanaan teori diterjemahkan kepada penggunaan Internet sebagai medium komunikasi, kolaborasi dan perkongsian maklumat dalam pembelajaran dan pengajaran.
Ia bermula dengan penggunaan teknologi berasaskan web untuk perkongsian maklumat seperti YouTube, Twitter, Facebook, Google dan Yahoo Messenger hingga akhirnya aplikasi media sosial ini menjadi popular di seluruh dunia.
Kajian UPSI dengan kerjasama Jabatan Pelajaran Negeri Perak pada 2009 di 100 sekolah di daerah Larut, Matang dan Selama mendapati pelajar dan guru yang menggunakan Wikipedia, Twitter dan Aplikasi Google For Educators menghasilkan keputusan memberangsangkan.
Mengenai kemungkinan wujudnya kelemahan pembelajaran sistem berasaskan teknologi, katanya, ia sentiasa ditambah baik dari semasa ke semasa dengan bantuan pakar pendidikan seluruh dunia.
“Antara kelemahan yang wujud adalah kemudahan akses Internet terhad di kawasan luar bandar, harga langganan mahal serta kesediaan pendidik melaksanakan sistem ini.
“Saya percaya, generasi V tidak menghadapi masalah beralih kepada pembelajaran berasaskan teknologi Internet kerana bersedia mahukan sistem itu.
“Penerimaan ibu bapa turut positif kerana mereka mahukan satu sistem selari mengikut peredaran zaman,” katanya.
|