- Laman Utama
- Malaysian Journal of Youth Studies
- 2019
- Vol 20 Jun
- INDEKS BUDAYA SUKAN MALAYSIA 2018 MENGUKUR TAHAP BUDAYA SUKAN RAKYAT MALAYSIA
INDEKS BUDAYA SUKAN MALAYSIA 2018 MENGUKUR TAHAP BUDAYA SUKAN RAKYAT MALAYSIA
Artikel ini bertujuan melaporkan tahap budaya sukan rakyat Malaysia yang diterjemahkan melalui penghasilan Indeks Budaya Sukan Malaysia 2018. Indeks ini merupakan indeks pertama yang dibangunkan diperingkat nasional mahupun antarabangsa dan menjadi indeks tahun asas untuk dibandingkan dengan indeks semasa pada tahun-tahun akan datang. Kajian ini menggunakan kaedah tinjauan melalui borang soal selidik dengan melibatkan 8,007 orang responden di seluruh Malaysia yang berumur 13 tahun dan ke atas. Tempoh masa yang diambil untuk melaksanakan kajian ini adalah selama 11 bulan bermula Januari hingga November 2018. Sebanyak lima domain dan lapan indikator telah dibangunkan untuk mengukur tahap budaya sukan dalam kalangan rakyat Malaysia. Domain tersebut ialah Domain Penglibatan; Domain Kecintaan Sukan; Domain Kesukarelaan; Domain Perbelanjaan; dan Domain Fasiliti Sukan. Skala pengukuran bagi tahap budaya sukan telah dibangunkan iaitu Tiada Budaya Sukan (skor 0); Rendah Budaya Sukan (skor 1 hingga 49); Sederhana Budaya Sukan (skor 50 hingga 69); Tinggi Budaya Sukan (skor 70 hingga 84); dan Sangat Tinggi Budaya Sukan (skor 85 hingga 100). Pembentukan skor menggunakan julat skor 0 hingga 100 yang mana skor 100 merupakan skor maksimum. Kajian menunjukkan tahap budaya sukan rakyat Malaysia berada pada tahap Sederhana dengan skor 53.1. Ini menggambarkan perlunya usaha yang berterusan bagi menggalakkan rakyat melakukan aktiviti sukan, senaman dan rekreasi aktif di samping terlibat dalam aktiviti kecintaan sukan, kesukarelaan sukan, perbelanjaan, dan penggunaan fasiliti sukan.
Kata Kunci: Indeks Budaya Sukan Malaysia, Budaya Sukan, Domain, Skala Pengukuran, Tahap Budaya Sukan