- Laman Utama
- Berita Terkini
- Pinjaman Peribadi, Kereta Penyumbang Terbesar Belia Muflis
Pinjaman Peribadi, Kereta Penyumbang Terbesar Belia Muflis
Kuala Lumpur: Membuat pinjaman peribadi dan kereta adalah penyebab utama golongan muda muflis semata-mata mahu memenuhi keperluan gaya hidup yang melangkaui kemampuan mereka.
Pakar Kewangan Islam dan Fintech, Muhamad Fahmi Mustafa berkata, mengikut statistik, terdapat empat penyebab kebankrapan paling tinggi iaitu pinjaman peribadi, pembelian kereta, pinjaman perniagaan dan pinjaman perumahan.
Katanya, tiga daripada penyebab itu adalah berkaitan pinjaman yang mempunyai hubung kait yang sangat tinggi kepada gaya hidup golongan belia.
"Bagi tempoh 2018 hingga September 2022, jumlah bankrap atau muflis yang ditadbir adalah 47,929 dan daripada jumlah itu, 10,378 adalah mereka yang berumur antara 34 tahun dan ke bawah.
"Manakala mereka yang berumur 35 hingga 44 tahun mewakili kira-kira 37.38 peratus atau 17,917 orang yang muflis.
"Kes muflis sebenarnya mengalami penurunan dari segi kes, tetapi ini bukanlah disebabkan kes itu benar-benar menurun, tetapi disebabkan takrifan semula nilai ambang kebankrapan kepada RM100,000 daripada RM50,000 sebelum ini," katanya..
Beliau berkata, punca kebankrapan juga akibat pembelian membabitkan gaya hidup dan pelaburan yang kurang pasti, contohnya pembelian rumah di luar kemampuan sebenar.
Menurutnya, kenaikan harga rumah tidaklah berada di kadar yang 'agresif' seperti yang digembar-gemburkan, malah jumlah rumah sekarang boleh dikatakan sudah melebihi penawaran.
Muhammad Fahmi berkata, oleh itu pembelian aset jangka masa panjang seperti kediaman haruslah dipertimbangkan dengan melihat pelbagai faktor sebelum membuat keputusan memohon pinjaman.
Menurutnya, ketika di ambang muflis, individu perlu segera mendapatkan khidmat nasihat daripada institusi sepatutnya seperti Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) dan turut serta dalam program yang dirancang oleh AKPK.
"Bagaimanapun, jika sudah muflis, golongan ini perlu mengikuti nasihat daripada Jabatan Insolvensi Malaysia (MDI) dan jangan abaikan peringatan serta sentiasa membuat tindakan susulan dengan MDI kerana mereka hendak membantu kita keluar daripada status muflis terbabit," katanya.
Semalam, Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh menyatakan akan melaksanakan inisiatif membantu golongan belia yang berdepan masalah muflis menerusi Kementerian Belia dan Sukan (KBS).
Ini berikutan berdasarkan maklumat MDI, jumlah kes muflis membabitkan belia di negara ini menunjukkan trend penurunan dalam tempoh tiga tahun sejak 2020 iaitu sehingga Jun lalu adalah 10,137 orang.
Penurunan kes muflis bagi belia berumur bawah umur 25 tahun merekodkan 21 orang pada 2020 dan turun kepada 20 orang pada 2021, manakala hanya enam orang direkodkan sehingga Jun lalu. Sumber : Harian Metro Online. Pautan : Harian Metro