kbs Agensi di bawah Kementerian Belia dan Sukan Malaysia 
A A  Arial | PT Sans | Century
 Bahasa lain   carian
faq hubungi hubungi hubungi

Institut TVET Orang Asli Sangat Dinantikan - Penduduk

 
15082023 tvet org asli
 
 
 

KUALA LUMPUR, 14 Ogos (Bernama) - Penubuhan institusi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) khusus buat masyarakat Orang Asli sememangnya dinanti-nantikan kerana pendidikan kini menjadi keutamaan golongan itu dalam meningkatkan ekonomi dan taraf hidup.

Perkara ini sekali gus akan memastikan anak-anak Orang Asli dapat “duduk sama rendah, berdiri sama tinggi” seperti anak-anak masyarakat kaum lain dalam pelbagai bidang pada masa depan terutama pendidikan dan ekonomi.

Ibu tunggal Melati Yukin, 56, daripada suku Jakun yang menetap di Kahang, Kluang, JOHOR berkata beliau sentiasa menyokong kemajuan untuk kemahiran, sains dan teknologi,dan penubuhan institusi itu tentunya dapat membantu komuniti berkenaan yang tinggal di kawasan pedalaman, keluar daripada kepompong kemiskinan.

"Orang Asli mempunyai pelbagai kemahiran dan sangat minat menganyam serta membuat tikar, dengan adanya institusi ini, bukan sahaja akan mengetengahkan bakat komuniti ini, malah negara juga dapat memajukan industri kraf tangan," kata ibu 10 anak itu kepada Bernama.

Khamis lepas, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata kerajaan bersetuju mewujudkan dan mengaktifkan dengan segera institusi TVET khusus bua tmasyarakat Orang Asli, selain mengumumkan pemberian wang tunai RM1,000 kepada mana-mana pelajar Orang Asli yang mendapat surat tawaran masuk ke universiti.

Bagi Pengarah Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) Johor Faisal Long pula, usaha mewujudkan institusi berkenaan akan membuka peluang lebih besar kepada masyarakat Orang Asli bersaing dalam pasaran kerja memandangkan penglibatan remaja dan belia komuniti itu bagi bidang teknikal pada masa kini masih rendah.

Katanya setakat ini, sebanyak 18,475 Orang Asli menetap di 60 perkampungan Orang Asli di Johor dengan 49 orang daripadanya sedang melanjutkan pelajaran di institusi pengajian tinggi (IPT) dalam pelbagai bidang di bawah tajaan biasiswa daripada jabatan.

DI MELAKA, Tok Batin Kampung Orang Asli Kubang Badak, Alor Gajah, Besi Dulah, 42, percaya lebih ramai anak masyarakat Orang Asli akan dapat melanjutkan pelajaran keperingkat lebih tinggi terutama dalam bidang TVET berikutan penubuhan institusi itu.

“Penubuhannya juga membuka platform untuk anak-anak masyarakat Orang Asli menyumbang semula kepada negara dalam bidang TVET setelah berjaya pada masa hadapan,”katanya.

DI PERAK,Tok Batin Kampung Gesau Ulu Slim, Rozi Gaharai, 45, berkata ramai ibu bapa masyarakat Orang Asli sekarang sedar pendidikan menjadi kunci untuk menjana pendapatan lebih baik dan berharap penubuhan institusi itu kelak dimanfaatkan sepenuhnya bagi melahirkan golongan berkemahiran.

Sementara itu, Tok Batin Kampung Batu 6 di Tapah, Fadzil Arom, 49, berkata usaha melahirkan masyarakat Orang Asli yang berkemahiran dalam TVET perlu berterusan agar impaknya sampai.

"Pendidikan ialah jalan keluar untuk generasi muda mencari rezeki dan saya harapkan mereka menyedari hakikat ini untuk pastikan mereka individu yang berkemahiran untuk diterima dalam industri bagi mengatasi pengangguran," katanya yang turut berharap pelaksanaan institusi itu disegerakan.

Dalam pada itu, Pengarah JAKOA Perak dan Kedah Hairulnizam Abd Rahman yakin penubuhan institusi itu dapat membantu masyarakat Orang Asli untuk “pergi lebih jauh ”dalam kerjaya kerana mereka berpeluang memperoleh sijil atau diploma kemahiran yang bersesuaian dengan peluang pekerjaan di dalam dan luar negara.

Beliau juga menyifatkan bantuan wang tunai RM1,000 kepada pelajar Orang Asli sebagai meringankan beban ibu bapa dalam membuat persiapan anak mereka ke universiti memandangkan sebelum ini, JAKOA hanya menyediakan bantuan elaun pendidikan antara RM1,700 hingga RM4,800 bagi setiap semester kepada mereka yangditawarkan masuk ke universiti awam, kolej atau universiti swasta.

Di PAHANG, belia Orang Asli daripada suku Temuan, Azmani Nurdin, 25, berharap penerangan dan promosi aktif berhubung inisiatif pendidikan itu diperbanyak bukan hanya menerusi agensi kerajaan, namun turut melibatkan badan bukan kerajaan (NGO) dan persatuan belia supaya “benar-benar sampai kepada golongan sasar”.

"Kalau dimaklumkan ada tempat khusus untuk belia Orang Asli sambung belajar, ia memudahkan kerana mereka tahu ada tempat untuk dituju selepas tamat sekolah … lebih-lebih lagi kepada mereka yang tidak mahu sambung belajar atau yang peroleh keputusan kurang baik dalam peperiksaan.

"Sekarang bidang TVET semakin banyak peluang kerja dan gajinya juga lebih stabil. Tambahan pula, memang tidak rugi jika belajar dalam bidang kemahiran kerana pada masa depan, ia sangat membantu jika mahu bekerja sendiri," katanya.

 

 

Sumber : Bernama

Pautan : Bernama

RAKAN STRATEGIK IYRES

iyres.svg

INSTITUT PENYELIDIKAN PEMBANGUNAN BELIA MALAYSIA

Aras 10, Menara KBS, No. 27 Persiaran Perdana, Presint 4,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62570 Putrajaya.

Tel : +603-8871 3417 
Faks : +603-8871 3342 
Emel : info[at]iyres.gov.my

Image
Image
Image
Image

© 2023 Institut Penyelidikan Pembangunan Belia Malaysia (IYRES)
Hak cipta terpelihara. Paparan terbaik pada versi terkini Chrome, Firefox, Edge, Safari.