kbs Agensi di bawah Kementerian Belia dan Sukan Malaysia 
A A  Arial | PT Sans | Century
 Bahasa lain   carian
faq hubungi hubungi hubungi

Bengkel Kemahiran Perabot Ubah Nasib B40, Belia PPR

 

belia ppr

 

KUALA LUMPUR, 21 Jan (Bernama) - Hanya dengan menggunakan 'bahan buangan', siapa sangka hasilnya mampu menjana pendapatan dan mengubah kehidupan seterusnya memberikan sinar baharu kepada golongan B40 dan penghuni Projek Perumahan Rakyat (PPR).

Itulah yang dilakukan Mohd Faizal Ayob, 40, menerusi perusahaan sosial asas (PSA), Re-Kayu yang menjadikan kayu palet dan kayu pine kitar semula untuk memperkasakan golongan berkenaan dengan kemahiran pertukangan kayu dan pembuatan perabot.

Sejak PSA dilaksanakan tiga tahun lepas, Mohd Faizal bukan sahaja membantu mereka yang kehilangan pekerjaan membina semula kerjaya dengan memperoleh pendapatan sekurang-kurangnya RM1,500 sebulan, tetapi juga meningkatkan mereka menjadi usahawan berjaya yang mampu menyiapkan tempahan perabot hingga mencecah puluhan ribu ringgit.

Gembira dengan pencapaian itu, beliau berkata program yang memberi latihan pertukangan kayu secara percuma berkenaan telah menarik 50 belia di PPR dan B40 di sekitar Lembah Klang dan pihaknya menyasarkan penyertaan lebih 200 individu pada tahun depan.

"Peserta akan diberi pendedahan mengenai fungsi dan kegunaan alatan pertukangan kayu dan mesin kayu yang lebih jimat tenaga dan masa sepanjang tempoh dua hari kursus.

"Mereka juga boleh mempelajari teknik dan kemahiran pertukangan kayu termasuk pemilihan bahan, lukisan reka bentuk, laminasi dan perapian selain mengasah kreativiti dan inovasi peserta," katanya kepada Bernama.

Antara perabot yang dihasilkan ialah katil, meja tulis, bangku, rak kasut dan rak pakaian dengan permintaan paling tinggi diterima adalah tempahan katil untuk mangsa banjir sebanyak 150 unit.

Bekas pensyarah pelancongan di sebuah universiti di ibu kota ini berkata bahan kayu yang digunakan diperoleh dari gudang dan kilang dengan perabot hasil kerja tangan peserta, dipasarkan sehingga luar Lembah Klang selain turut disewakan untuk kegunaan pelbagai majlis.

Antara PPR yang terlibat menjayakan inisiatif berkenaan ialah PPR Kampung Baru HICOM Shah Alam, PPR Pantai Ria, PPR Lembah Subang, Flat Gasing Indah, Flat Puchong Permai dan Pangsapuri Angkat Angsana USJ 1.

"Program tidak terhenti setakat memberi latihan sahaja sebaliknya kami buat susulan setiap aktiviti pertukangan yang dilakukan di rumah selain kita bantu penggunaan peralatan.

"Hasrat kami juga sangat besar iaitu kami ingin melihat golongan B40 tidak dipandang rendah dan kami mahu bantu mereka melebarkan sayap ke peringkat lebih baik," katanya yang sedang mengikuti kursus Diploma Kemahiran Malaysia (DKM) tahap 4 dalam bidang teknologi perabot.

Program itu juga turut mendapat kerjasama pelbagai agensi antaranya Rakan Muda, pihak berkuasa tempatan (PBT) serta Persatuan Penempatan Dan PemulihanPenjara.

Penyertaan golongan bekas banduan, belia bermasalah dan penganggur juga turut disasarkan menerusi Program Keusahawan Sosial dan Pembudayaan KomunitiInovatif bagi memberikan peluang kedua kepada mereka untuk membina kehidupan lebih baik.

Inisiatif PSA itu turut memulakan Program Return To Work dengan kerjasama Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dan Yayasan Inovasi Malaysia bagi tujuansama melalui modul pembuatan perabot.

"Kami juga akan bekerjasama dengan pusat latihan kemahiran seperti Pusat Pembangunan Kemahiran Industri Kayu (WISDEC) dalam memberi pensijilan SKM (SijilKemahiran Malaysia) untuk peserta agar lebih berdaya saing," katanya.

Ditanya tentang perancangan masa hadapan, Mohd Faizal berhasrat membina kilang perusahaan sosial berasaskan pembuatan perabot bagi pasaran tempatan dan luar negara.

"Walaupun banyak cabaran untuk merealisasikan hasrat dan inisiatif ini, Re-Kayu akan berusaha dan yakin mencapai misi dan matlamat itu," katanya yang pernah memenangi beberapa pertandingan termasuk tempat pertama program NGO@Makerthon.

Seorang peserta Rahayu Zabani, 42, berkata bengkel berkenaan menjadi platform untuk mengembangkan minatnya dalam bidang pertukangan kayu selain menjana pendapatan tambahan.

"Kemudahan dan peralatan yang disediakan pihak Re-Kayu sangat lengkap dan ini memudahkan kerja-kerja pertukangan,” kata ibu kepada kepada lima anak itu.

Rahayu yang menetap di Perumahan Awam Seri Sarawak kini giat mengambil tempahan membuat pelbagai jenis perabot seperti meja, kerusi dan rak peralatan dapur.

Sanggup meninggalkan kerjaya dalam bidang pendawaian elektrik untuk menumpukan bidang pertukangan kayu, Mohd Helmi Mohd Sulaiman, 34, dari PPR PantaiPermai di sini berkata dia tidak mahu melepaskan peluang membina kerjaya baharu yang lebih menjamin masa hadapannya dan keluarga.

"Selepas menyertai bengkel ini pada Mac tahun lepas, saya telah menyiapkan kabinet dapur untuk lima rumah pada harga yang sangat berbaloi bergantung pada jenis perabot yang ditempah,” katanya menambah kerja pertukangan kayu mengambil masa lebih singkat untuk menjana pendapatan lebih lumayan.

 

Sumber : Bernama
Pautan : Bernama

RAKAN STRATEGIK IYRES

iyres.svg

INSTITUT PENYELIDIKAN PEMBANGUNAN BELIA MALAYSIA

Aras 10, Menara KBS, No. 27 Persiaran Perdana, Presint 4,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62570 Putrajaya.

Tel : +603-8871 3417 
Faks : +603-8871 3342 
Emel : info[at]iyres.gov.my

Image
Image
Image
Image

© 2023 Institut Penyelidikan Pembangunan Belia Malaysia (IYRES)
Hak cipta terpelihara. Paparan terbaik pada versi terkini Chrome, Firefox, Edge, Safari.