- Laman Utama
- Berita Terkini
- Instrumen pemangkin martabatkan bidang TVET
Instrumen pemangkin martabatkan bidang TVET
Kuala Langat: Dasar Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional Negara (TVET) Negara 2030 membuka lembaran baharu dalam penyediaan modal insan berkemahiran tinggi, seiring keperluan industri dan pasaran global.
Ia antara lain muncul sebagai instrumen pemangkin bagi memartabatkan bidang TVET, selain mewujudkan ekosistem berkualiti serta meneroka potensi besar, terutama industri pertumbuhan tinggi dan bernilai tinggi (HGHV).
Ketua Operasi Selepas Jualan Kumpulan Bermaz Auto Berhad, Datuk Shamsuddin Amran, berkata ia juga mempamerkan perhatian serius yang diberikan kerajaan terhadap keberhasilan bidang TVET.
"Pelancaran Dasar TVET Negara ini sekali gus meletakkan bidang berkenaan sebagai antara agenda utama negara, sebaris keperluan menghasilkan tenaga kerja dalam bidang profesional lain.
"Ia antara lain nyata memenuhi keperluan industri, terutama dalam melahirkan bakat tempatan berkemahiran tinggi, setara perubahan pasaran dan teknologi terkini," katanya kepada BH, hari ini.
Dasar TVET Negara 2030 yang dilancarkan Sabtu lalu, menggariskan lima teras strategik, meliputi 23 strategi dan 67 inisiatif utama bagi mendepani landskap semasa bidang itu serta cabaran teknologi baharu yang kompleks.
Ia mengandungi garis panduan komprehensif yang menetapkan aspirasi dan hala tuju kerajaan dalam mencapai matlamat Malaysia ke arah negara maju berpaksikan modal insan berkemahiran melalui program TVET yang responsif, fleksibel dan inklusif.
Dokumen Dasar TVET Negara 2030 yang diedarkan menegaskan, pembangunan modal insan dan ketersediaan tenaga kerja berkemahiran tinggi menjadi faktor kritikal dalam memastikan pasaran buruh yang cekap dan inklusif untuk memacu pertumbuhan ekonomi negara yang mampan.
Selaras itu, kerajaan memberi penekanan terhadap TVET bagi menyokong hasrat membangunkan bakat tersedia masa hadapan menepati keperluan industri yang dinamik dan secara langsung dapat mengurangkan kebergantungan kepada tenaga kerja asing
Lima teras digariskan dalam dasar berkenaan ialah Tadbir Urus Komprehensif dan Bersinergi; Kualiti dan Laluan Pendidikan Bertaraf Dunia; Kerjasama Industri Cekap dan Produktif; Pembiayaan TVET Mampan serta TVET Pilihan Utama Kerjaya.
Dalam pada itu, Shamsuddin mengesyorkan supaya kerajaan memperhebatkan sesi libat urus, termasuk menganjurkan sesi dialog bersama industri dan pihak berkepentingan bagi mengurangkan jurang dengan keperluan pasaran.
Beliau juga mencadangkan supaya pembangunan silibus TVET tidak terlalu bergantung kepada Kementerian Pendidikan, sebaliknya perlu berasaskan keperluan industri bagi mewujudkan ekosistem yang seiring dan holistik.
"Kita juga berharap usaha memartabatkan serta kempen kesedaran mengenai TVET dapat dipupuk bermula dari peringkat sekolah rendah dengan penerapan elemen TVET dalam silibus atau sesi pengajaran dan pembelajaran.
"Selain libat urus, kerajaan juga disaran memperkasa usahasama dengan negara maju seperti Jerman, Jepun dan China yang terkenal dengan pembangunan dan pengembangan bidang TVET.
"Ini kerana, teknologi yang memacu bidang TVET seperti kecerdasan buatan (AI) dan seumpamanya sentiasa berubah dari semasa ke semasa," katanya yang juga Ketua Kluster TVET Kongres Ekonomi Bumiputera.
Sementara itu, Setiausaha Agung Pertubuhan Kebangsaan Pekerja Berkemahiran (BELIA MAHIR), Mohammad Rizan Hassan, berkata Dasar TVET Negara 2030 menjadi sandaran kepada penyedia latihan dan industri bagi memupuk kerjasama holistik.
Katanya, dasar itu juga sangat signifikan dan relevan, terutama dalam keadaan semasa yang menyaksikan teknologi mengubah gaya hidup, kerja dan pemikiran, selain memberi konteks jelas berhubung hala tuju melahirkan modal insan berkemahiran tinggi.
"Di peringkat penyedia latihan pula, ia mampu menyediakan prasarana dan pembangunan pembelajaran yang boleh membantu penghasilan tenaga kerja mahir, seiring keperluan industri dan pasaran global.
"Namun, penambahbaikan yang boleh dilakukan adalah menerusi suntikan elemen pemasaran bakat tempatan ke peringkat global memandangkan ekosistem bidang TVET yang sentiasa berubah dan memerlukan pelaburan dalam skala besar.
"Dasar ini antara lain dapat mengurangkan birokrasi dalam membangunkan bakat TVET, selain pihak industri pastinya memiliki akses lebih luas untuk memberi sumbangan kepakaran terutama bagi pemindahan pengetahuan dan teknologi kepada institusi latihan sedia ada," katanya.
Sumber : Berita Harian
Pautan : https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2024/06/1258103/instrumen-pemangkin-martabatkan-bidang-tvet