- Laman Utama
- Berita Terkini
- Parlimen Belia: Format baharu pemilihan mampu bentuk barisan pemimpin muda
Parlimen Belia: Format baharu pemilihan mampu bentuk barisan pemimpin muda
KUALA LUMPUR: Format baharu pemilihan perwakilan Parlimen Belia disifatkan sebagai satu langkah yang signifikan dalam membentuk barisan pemimpin muda di negara ini.
Ahli Parlimen Belia Malaysia, Esther Ezhil Nanggai berharap penyertaan dalam inisiatif ini tidak hanya tertumpu kepada mahasiswa dan mahasiswi malah semua belia secara holistik.
"Ini bagi memastikan Dewan Parlimen Belia memiliki representasi daripada pelbagai kaum dan golongan, khususnya dengan menggalakkan penyertaan belia Orang Kurang Upaya (OKU).
"Saya berharap platform ini dimanfaatkan sepenuhnya oleh kerajaan untuk membina potensi kepimpinan belia melalui pengisian yang bukan sahaja memberi keutamaan kepada aspek komunikasi tetapi juga mencapai pelbagai objektif.
"Ia khususnya dalam membentuk karakter dan meningkatkan kemahiran intelektual dengan menggalakkan pemimpin terbabit dalam aktiviti penyelidikan dan pembangunan," katanya kepada BH.
Semalam BH melaporkan pemilihan perwakilan Parlimen Belia bakal menampilkan format baharu dengan proses berkenaan dijangka diadakan suku pertama tahun hadapan.
Antara rombakan ialah sistem pengundian mirip pilihan raya umum (PRU) serta pencalonan perwakilan akan dipilih dalam kalangan mahasiswa universiti awam (UA) dan institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) di seluruh negara.
Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul, berkata Parlimen ketika ini sedang memperkemas rombakan format Parlimen Belia yang diambil alih sepenuhnya daripada Kementerian Belia dan Sukan.
Beliau juga memberi bayangan jumlah perwakilan Ahli Parlimen Belia akan diperluas kepada 222 anggota berbanding hanya 100 orang ketika ini, selain proses pemilihan dijangka diadakan Mac 2025, diikuti persidangan pada September tahun depan.
Esther yang bakal menamatkan khidmat pada Disember ini juga berharap semua pihak yang berkaitan dapat memberikan kerjasama dan sokongan kepada pihak Parlimen Malaysia.
Beliau dalam masa sama turut mencadangkan supaya mantan ahli Parlimen Belia akan diberikan peranan dalam membantu proses penyelarasan program ini.
Sementara itu, Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM), Mohd Izzat Afifi Abdul Hamid memohon supaya pemilihan calon dibuka bukan sahaja kepada mahasiswa sahaja tetapi merangkumi belia yang menyertai persatuan.
"Bakat kepimpinan bukan sahaja ada dalam kalangan mahasiswa tetapi belia di luar kampus. Mengehadkan pencalonan kepada mahasiswa seperti menafikan bakat belia lain.
"Parlimen Belia juga harus mewakili demografi belia Malaysia secara keseluruhan dan inklusif dan tidak hanya mewakili kelompok tertentu sahaja. Belia yang berada di universiti hanya mewakili sebahagian kecil daripada keseluruhan belia Malaysia," katanya.
Mohd Izzat berkata mencadangkan supaya calon mempersiapkan diri dengan mempunyai penguasaan dalam isu-isu semasa dan kemahiran berfikir globalisasi.
"Ia khususnya tentang isu berkaitan belia, ekonomi, pendidikan, dan lain-lain. Pemberdayaan forum-forum intelektual perlu diperbanyakkan seperti Forum Belia dan Warisan ASEAN serta Forum Ekonomi Belia (YEF) 2024 seperti yang diadakan Oktober lalu.
"Selain itu, pemantapan kemahiran komunikasi efektif dan perdebatan. Penglibatan di dalam latihan debat, forum, dan bengkel dapat memperkukuh kemahiran komunikasi," katanya.
Mohd Izzat turut mencadangkan supaya calon mempraktikkan nilai-nilai kepimpinan seperti integriti, kebertanggungjawaban dan empati dalam interaksi.
"Pemerkasaan ini boleh dilakukan secara bersama antara MBM dan Akademi Kenegaraan yang telah merancang beberapa program pembangunan bakat belia," katanya.
Sumber: Berita Harian