kbs Agensi di bawah Kementerian Belia dan Sukan Malaysia 
A A  Arial | PT Sans | Century
 Bahasa lain   carian
faq hubungi hubungi hubungi

Reformasi pendidikan seksual 'senjata' cegah isu sosial remaja

Pendidikan seksual adalah aspek penting dalam perkembangan remaja dan belia, terutama dalam masyarakat moden semakin kompleks.

Dengan kemudahan akses kepada media sosial dan maklumat tidak terkawal, remaja sering terdedah kepada maklumat salah atau tidak tepat mengenai seksualiti.

Oleh itu, pendidikan seksual berstruktur dan komprehensif sangat penting untuk mencegah masalah sosial seperti kehamilan luar nikah remaja dan penularan penyakit kelamin.

Dalam hal ini, pendidikan seksual di Malaysia masih menjadi topik sensitif dan sering mendapat reaksi bercampur-baur.

Program seperti Pendidikan Kesihatan Reproduktif dan Sosial (PEERS) juga diperkenalkan, namun cabaran budaya, agama dan stigma masyarakat terhadap isu seksualiti masih menghalang keberkesanan program ini.

Kajian menunjukkan pendidikan seksual disampaikan secara formal dapat membantu mengurangkan kadar kehamilan remaja. Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), negara melaksanakan pendidikan seksual komprehensif mencatatkan penurunan ketara dalam kadar kehamilan remaja.

Sebagai contoh, Belanda yang mempunyai salah program pendidikan seksual paling maju, mencatatkan kadar kehamilan remaja rendah iaitu hanya empat kehamilan bagi setiap 1,000 remaja perempuan berumur 15-19 tahun.

Program di Belanda menekankan aspek biologi, emosi dan tanggungjawab sosial dalam hubungan seksual, sekali gus membantu remaja membuat keputusan bijak.

Di Filipina, pengenalan pendidikan seksual lebih terbuka membawa kepada pengurangan kadar kehamilan remaja sebanyak 15 peratus dalam tempoh tiga tahun selepas pelaksanaan program itu pada 2000. Negara itu juga memberi latihan intensif kepada guru untuk menyampaikan topik sensitif secara efektif.

Ketiadaan pendidikan seksual atau program tidak mencukupi boleh membawa kesan buruk. Di Malaysia, pendidikan seksual dimasukkan dalam kurikulum melalui subjek Pendidikan Jasmani dan Pendidikan Moral dengan fokus kepada kesihatan reproduktif, perubahan fizikal remaja dan pencegahan penyakit kelamin.

Namun, pendekatan ini terlalu umum dan tidak menyentuh aspek penting seperti hubungan sihat, persetujuan dan hak seksual.

Menurut laporan Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) 2021, sebahagian besar pelajar di Malaysia tidak mendapat pendidikan seksual komprehensif dengan 48 peratus daripada mereka berasa kurang bersedia menangani isu seksualiti.

Laporan sama menyatakan 35 peratus remaja perempuan dan 22 peratus remaja lelaki tidak memahami kaedah kontrasepsi asas.

Kajian Kementerian Kesihatan (KKM) pada 2020 menunjukkan hampir 18,000 kes kehamilan remaja, dengan 25 peratus daripadanya bawah 18 tahun.

Lebih membimbangkan, kajian Universiti Malaya pada 2019 mendapati hanya 40 peratus pelajar sekolah menengah memahami dengan jelas kaedah perlindungan seperti kondom dan pil perancang. Ini mendedahkan remaja kepada risiko penyakit kelamin seperti HIV dan gonorea.

Laporan KKM juga mencatatkan 44,263 kes kehamilan remaja direkodkan dalam lima tahun terakhir dengan 17,646 daripadanya belum berkahwin.

Data ini menunjukkan peningkatan dalam kalangan remaja yang aktif secara seksual tanpa pengetahuan mencukupi mengenai perlindungan dan akibatnya. Kekurangan pengetahuan ini membawa kepada amalan seks tidak selamat berisiko tinggi.

Antara faktor penyumbang adalah kekurangan latihan khusus kepada guru menyampaikan pendidikan seksual.

62 peratus guru tak yakin ajar topik seksualiti

Kajian UM pada 2020 mendapati 62 peratus guru berasa tidak yakin mengajar topik seksualiti kerana takut menyinggung sensitiviti pelajar atau ibu bapa.

Kandungan pendidikan seksual dalam kurikulum sekolah di Malaysia juga masih terhad dan tidak menyeluruh. Topik seperti persetujuan dalam hubungan, kehamilan tidak diingini dan kesan emosi akibat hubungan seksual jarang dibincangkan secara mendalam.

Pendidikan seksual komprehensif terbukti berkesan mengurangkan tingkah laku seksual berisiko.

Sebagai contoh, program intervensi pencegahan tingkah laku seks bebas dan kehamilan remaja di Kanada berjaya mengurangkan tingkah laku seksual berisiko dengan kadar jangkitan penyakit kelamin dalam kalangan remaja menurun 15 peratus tempoh lima tahun.

Program ini mengutamakan sains, kesaksamaan gender, hubungan sihat, persetujuan dan hak tubuh badan, membuktikan pendidikan seksual bukan sahaja mengurangkan kehamilan tetapi mengurangkan stigma terhadap penyakit kelamin.

Di Malaysia, keberkesanan pendidikan seksual dapat ditingkatkan dengan pendekatan lebih komprehensif dan sensitif terhadap budaya. Ini termasuk membabitkan ibu bapa dalam proses pendidikan, menyediakan latihan khusus kepada guru dan memastikan maklumat disampaikan tepat serta relevan dengan konteks semasa.

Kajian Universiti Putra Malaysia menunjukkan hubungan erat ibu bapa dan anak memainkan peranan penting dalam penyampaian maklumat pendidikan seksual.

Selain itu, intervensi membabitkan komuniti dan rakan sebaya juga boleh membantu menyebarkan maklumat betul mengenai kesihatan seksual. Bermakna, reformasi pendidikan seksual di Malaysia amat penting bagi memenuhi keperluan generasi muda.

Pendidikan seksual adalah alat penting membimbing remaja dan belia memahami tanggungjawab mereka terhadap diri sendiri serta masyarakat, sekali gus mencegah isu sosial seperti kehamilan usia remaja dan penularan penyakit kelamin.

Pendekatan lebih holistik dan sensitif terhadap budaya perlu diterapkan untuk memastikan keberkesanan program ini. Selain itu, pelaburan dalam pendidikan seksual berkualiti bukan sahaja penting untuk kesihatan generasi muda tetapi untuk kestabilan sosial negara secara keseluruhan.

Dengan memberikan remaja dan belia pengetahuan tepat dan relevan, mereka dapat membuat keputusan bijak mengenai kesihatan seksual serta reproduktif, mengurangkan tingkah laku seksual berisiko.

Pendidikan seksual komprehensif dan berkesan adalah penting dalam mencegah kehamilan remaja serta penularan penyakit kelamin. Reformasi pendidikan seksual perlu dilakukan untuk memastikan ia dapat memenuhi keperluan generasi muda.

Melalui usaha ini, generasi akan datang diharap dapat membuat keputusan lebih bertanggungjawab mengenai kesihatan seksual dan membentuk masyarakat lebih sihat dan bertanggungjawab.

Sumber: Berita Harian

Pautan: https://www.bharian.com.my/rencana/lain-lain/2025/01/1348955/reformasi-pendidikan-seksual-senjata-cegah-isu-sosial-remaja

 

RAKAN STRATEGIK IYRES

iyres.svg

INSTITUT PENYELIDIKAN PEMBANGUNAN BELIA MALAYSIA

Aras 10, Menara KBS, No. 27 Persiaran Perdana, Presint 4,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62570 Putrajaya.

Tel : +603-8871 3417 
Faks : +603-8871 3342 
Emel : info[at]iyres.gov.my

Image
Image
Image
Image

© 2025 Institut Penyelidikan Pembangunan Belia Malaysia (IYRES)
Hak cipta terpelihara. Paparan terbaik pada versi terkini Chrome, Firefox, Edge, Safari.