kbs Agensi di bawah Kementerian Belia dan Sukan Malaysia 
A A  Arial | PT Sans | Century
 Bahasa lain   carian
faq hubungi hubungi hubungi

Setiausaha Agung Majlis Belia Wilayah Persekutuan

Hari ini, rakyat Malaysia terutama warga Wilayah Persekutuan akan meraikan Hari Wilayah sebagai simbolik kepada pembangunan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan.

Ia boleh dianggap nukleus pembangunan negara, sekali gus menjadi mercu tanda kemajuan Malaysia.

Sambutan Hari Wilayah pada tahun ini bertemakan 'Wilayah Persekutuan Kita' mengundang refleksi kritikal terutama kepada belia.

Ini kerana belia mewakili kira-kira 45 peratus populasi negara, iaitu 14.68 juta individu (2022), boleh berperanan sebagai nadi transformasi bandar, sekali gus memangkin masa depan lebih lestari dan merangkumi latar masyarakat pelbagai.

Seiring ledakan Revolusi Industri 4.0 (IR4.0), Malaysia memperbaharui tekad mencapai status negara berpendapatan tinggi.

Ini menuntut penyertaan aktif belia dalam latar inovasi teknologi digital, sambil memperkemas lagi jaringan inovasi sosial.

Sebenarnya, Majlis Perundingan Belia Negara (MPBN) Peringkat Wilayah Persekutuan pada Ogos tahun lalu ada merumuskan generasi muda tidak boleh dilihat sekadar penerima atau pengguna.

Belia perlu dipersiapkan sebagai peneraju utama dalam mengintegrasikan teknologi seperti internet benda (IoT) dan kecerdasan buatan (AI) untuk merungkai permasalahan masyarakat urban.

Eksplorasi teknologi baharu perlu menjadi medan luas kepada belia, terutama di Wilayah Persekutuan untuk mendapatkan latihan sistemik dalam menajamkan daya saing Malaysia.

Kita kini melalui zaman ilmu dan kemahiran digital menjadi mata wang baharu dalam ekonomi global.

Justeru, antara usaha proaktif kerajaan menarik minat generasi muda bagi industri ini ialah Program Belia Kreatif MADANI dengan peruntukan sejumlah RM30 juta pada Belanjawan 2025.

Sebanyak RM50 juta pula diperuntukkan buat pembelajaran AI melalui universiti penyelidikan untuk membentuk generasi belia mampu tampil sebagai tenaga pakar berkemahiran tinggi.

Hakikatnya, transformasi bandar pintar dan inklusif tidak boleh direalisasikan melalui pendekatan atas ke bawah semata-mata.

Rugilah sekiranya lontaran pandangan dan suara belia di Wilayah Persekutuan dipinggirkan, sedangkan ia menjadi kompas masa hadapan terhadap kemampanan dasar dan polisi kerajaan semasa.

Hala tuju belia masih samar 

Sebaik manapun dasar pentadbiran bersifat jangka panjang, sekiranya tidak difahami dan didukung generasi muda, ia berisiko besar menjadi dasar 'pusingan U' ketika mereka mengambil alih tampuk kepemimpinan negara.

Dalam hal ini, ketika usia Wilayah Persekutuan menjangkau lebih 50 tahun, sehingga kini hala tuju pembangunan belia masih samar.

Tiada dasar mengikat dan memandu usaha pembangunan kepada lebih 900,000 belia di Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya.

Kerangka besar Dasar Pembangunan Belia Wilayah Persekutuan perlu segera dirumuskan agar konsolidasi sumber lebih efisien dapat disusun.

Sesuatu kerangka dapat mengoptimumkan peranan dan kebersamaan pemegang taruh belia serta agensi kerajaan dalam menatijahkan pembentukan generasi belia madani dan ummatik di Wilayah Persekutuan.

Kesalingan dasar dan upaya antara pelbagai lapisan pihak perlu terus dipacu semangat kolaboratif dan saling mempercayai dengan belia dibabitkan dalam setiap peringkat - dari perancangan konsep sehingga fasa pelaksanaan dan penilaian.

Antara aspek sering diberikan penekanan dalam konteks bandar raya adalah membangunkan bandar inklusif.

Bandar pintar bukan sekadar mengenai teknologi, bahkan inklusiviti. Betapa dalam kemajmukan ragam dan kerenah warga kota, sekalipun bersulam sengketa, masing-masing mengakui kebersamaan, sikap saling-menghormati dan budaya hidup bersama secara damai menjadi prasyarat utama kepada kemakmuran dan kesejahteraan Wilayah Persekutuan dan negara.

Pembangunan latar urban inklusif memerlukan pendekatan bersepadu menggariskan kepentingan kepada kesaksamaan sosioekonomi, pemeliharaan alam sekitar, aksesibiliti infrastruktur serta sistem pengangkutan awam meluas dan memenuhi keperluan warganya.

Dengan dukungan dan kerjasama merentas bidang, belia Wilayah Persekutuan pastinya mampu berperanan dengan efektif untuk membuktikan kemajuan sesebuah bandar tidak sewajarnya diukur dengan ketinggian pencakar langit sahaja.

Sebaliknya, ia perlu diukur dengan keluasan peluang saksama bagi semua warga untuk membina hari esok lebih baik buat semua secara bersama.

Sumber: Berita Harian

Pautan: https://www.bharian.com.my/rencana/komentar/2025/02/1356101/setiausaha-agung-majlis-belia-wilayah-persekutuan

 

RAKAN STRATEGIK IYRES

iyres.svg

INSTITUT PENYELIDIKAN PEMBANGUNAN BELIA MALAYSIA

Aras 10, Menara KBS, No. 27 Persiaran Perdana, Presint 4,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62570 Putrajaya.

Tel : +603-8871 3417 
Faks : +603-8871 3342 
Emel : info[at]iyres.gov.my

Image
Image
Image
Image

© 2025 Institut Penyelidikan Pembangunan Belia Malaysia (IYRES)
Hak cipta terpelihara. Paparan terbaik pada versi terkini Chrome, Firefox, Edge, Safari.