- Laman Utama
- Berita Terkini
- Belia bangkit cipta kecemerlangan
Belia bangkit cipta kecemerlangan
Jika tiada pandemik COVID-19, tarikh 15 Mei pastinya manis apabila Hari Belia Negara (HBN) disambut bersama hari ulang tahun kelahiran , Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin. Mengharungi ujian COVID-19 ini, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) mengumumkan bahawa sambutan HBN akan ditangguhkan ke suatu tarikh yang akan diberitahu kemudian.
Namun, sejak zaman berzaman, 15 Mei adalah tarikh keramat bagi mereka yang bergelar aktivis belia yang lahir di tengah-tengah masalah masyarakat. Itulah tarikh yang mereka rasakan suatu pengiktirafan atas jasa dan bakti kepada masyarakat ketika ramai hanya bijak mengkritik akan peranan yang di mainkan oleh kepimpinan belia.
Menyedari realiti belia sebagai anggota masyarakat yang paling idealistik, pastinya pemimpin belia dicabar untuk jangan lagi sekadar berpuas hati berada di gerigi peristiwa sebaliknya, marilah bersama-sama untuk mencipta sejarah. Dalam membangun belia, para pemimpin belia perlu bersama dengan kerajaan yang memerintah dan bukan taasub kepada mana-mana pertubuhan politik.
Pemimpin belia berperanan sebagai pelaku-pelaku aktif dalam proses membawa pembaharuan dan perubahan ke arah mencipta Malaysia yang kita impikan. Kita perlu ada keyakinan yang tinggi bahawa orang muda tentunya mempunyai banyak idea untuk dikongsi dalam menjana pembangunan negara.
Cabaran tangani pandemik
Dunia hari ini menyaksikan Malaysia tidak terkecuali dalam menangani Pandemik COVID-19. Negara berhadapan dengan cabaran besar untuk merealisasikan wawasan menjadi sebuah negara maju dengan rakyat yang berpendapatan tinggi.
Inilah masanya golongan belia tampil melalui platform yang ada seperti Majlis Belia Malaysia (MBM), Majlis Belia Negeri (MBN), Majlis Belia Daerah (MBD) serta badan gabungan belia yang lain untuk menggariskan matlamat dan pelan tindakan daripada belia untuk belia serta berdiri teguh di sisi kerajaan untuk mencipta model baharu ekonomi negara yang berasaskan kreativiti dan inovasi.
Atas sebab itu, sebagai generasi pewaris, anak muda Malaysia harus menyediakan diri untuk mengharungi norma baru yang telah mengubah cara berfikir, cara bekerja dan cara hidup belia. Sebaiknya, bagi memastikan kejayaan, warga belia perlu mendakap konsep pembelajaran sepanjang hayat dan bersedia untuk learn, unlearn dan relearn ilmu pengetahuan serta kemahiran secara berterusan.
Para pemimpin belia hendaklah tidak sama sekali akan berdikit dalam iltizam mempersiapsiagakan warga belia dengan peluang-peluang untuk menggarap ilmu dan kemahiran dengan secukupnya agar mereka “not only survive but thrive in this new economy”. Atas sebab itu, bersuaralah demi kebaikan semua anak muda.
Jangan dikongkong tradisi
Kita tidak mahu balik ke zaman dahulu apabila belia mesti menerima tanpa soal semua yang disarankan oleh orang dewasa. Amalan ini akan menjadikan sesuatu masyarakat atau negara itu statik, tidak bergerak maju. Amalan ini akan mengekalkan pendapat dan perbuatan yang salah dan merugikan. Di zaman moden masyarakat yang terlalu dikongkong oleh tradisi tidak mampu bersaing dengan masyarakat yang dinamik.
Tetapi tradisi tidak harus dihapuskan semata-mata kerana ia adalah tradisi. Hanya tradisi yang jelas menghalang kemajuan sahaja yang perlu dikaji dan diganti dengan amalan yang baru yang jelas boleh memberi manfaat.
Untuk itu, golongan belia perlu menekan “restart button” dan sedar bahawa krisis COVID-19 telah memberi kesan yang besar kepada ekonomi dan pasaran buruh belia. Belia berusia 15 hingga 29 tahun adalah kumpulan penting kepada pasaran buruh negara kerana merangkumi hampir 40 peratus daripada keseluruhan tenaga buruh.
Pelaburan asing sedia peluang kerja
Satu perkara yang menekan sekarang ialah pengangguran dalam kalangan belia. Untuk mengatasi masalah ini kerajaan perlu meningkatkan proses industrialisasi kerana hanya kilang-kilang pembuatan sahaja yang boleh menyediakan peluang-peluang kerja dengan banyak.
Kilang pembuatan memerlukan pelaburan yang banyak dan teknologi yang moden. Tidak ramai daripada para pelabur dalam negara yang memiliki modal dan teknologi untuk mengadakan kilang-kilang besar dan moden. Oleh itu, pelaburan asing amatlah penting untuk menyediakan peluang-peluang pekerjaan.
Untuk menarik pelaburan asing pastinya kerajaan telah menyediakan banyak insentif. Tetapi insentif yang terbesar sekali ialah kestabilan negara dan kesanggupan rakyat Malaysia khususnya golongan belia untuk bekerja kuat dan menjayakan perusahaan berkenaan.
Hikmah dari COVID-19 ialah norma baru yang menghasilkan sikap dan pemikiran golongan belia yang ingin bangkit dari masa lalu. Sebarang kegiatan yang memberi gambaran bahawa Malaysia tidak stabil merupakan penghalang kepada usaha mengatasi masalah pengangguran. Membudayakan pembelajaran sepanjang hayat, upskilling dan reskilling dalam kalangan belia akan menampakkan imej negara sebagai tempat yang paling sesuai untuk pelaburan.
Lengkap diri dengan kemahiran
Sebagai sokongan kepada usaha kerajaan memulihkan ekonomi dan menyediakan pekerjaan kepada golongan belia, para pemimpin belia perlu aktif dan terkehadapan untuk membantu kerajaan dalam membangunkan sumber tenaga manusia dalam kalangan belia. Ini perlu dirancang dengan lebih teratur dan berkesan.
Perhatian yang lebih berat perlu diberikan terhadap melengkapkan belia-belia kita dengan berbagai kemahiran yang lebih tinggi. Langkah-langkah penyesuaian wajar dilaksanakan supaya pengeluaran tenaga kerja menjadi selaras dengan perkembangan sains dan teknologi masa kini.
Penggunaan teknologi yang semakin canggih dalam sektor perindustrian memerlukan tenaga kerja yang mempunyai kemahiran yang setara dengan penggunaan teknologi moden. Di samping itu, sama ada kemahiran pengurusan atau kemahiran ketukangan dan teknikal, hendaklah juga berorientasikan kualiti. Kesungguhan untuk mencapai tahap kecemerlangan merupakan ciri utama dalam pengurusan sumber manusia.
Golongan belia harus menyedari tentang tanggungjawab mereka dalam pencapaian matlamat perindustrian negara. Negara kita memerlukan lebih ramai tenaga mahir terutamanya pada peringkat kemahiran tinggi hari ini dan pada masa hadapan. Kemahiran, bakat, daya cipta yang ada pada belia perlu dimajukan lagi sama ada melalui pendidikan atau latihan-latihan perindustrian yang lebih tinggi.
Seperkara yang patut diingati oleh semua belia ialah kecekapan dalam semua jenis kerja pertukangan datangnya dari mengulangi kerja itu berkali-kali. Jika pada mulanya pencapaian adalah rendah, ini tidak harus mengecewakan. Dengan ketekunan mengulang dan mengulang berkali-kali akhirnya kecekapan yang tinggi akan diperolehi. Justeru itu, kita tidak patut takut untuk memasuki sesuatu bidang. Sesiapa sahaja boleh mencapai kecemerlangan.
Kemahiran peringkat tinggi ini menjadi bertambah penting dalam konteks kemasukan pelaburan asing ke dalam negara kita. Kekurangan tenaga mahir boleh menjejaskan minat pelabur asing untuk melabur dalam negara. Oleh itu, para belia patut melengkapkan diri dengan berbagai kemahiran memandangkan mereka yang berkemahiran akan mempunyai peluang yang lebih baik untuk mendapat pekerjaan dan pendapatan yang baik.
Semai nilai positif
Namun demikian, untuk mencapai matlamat sebuah negara perindustrian yang maju, kemahiran dan pengetahuan sains dan teknologi sahaja tidak mencukupi. Usaha-usaha menerapkan nilai-nilai perindustrian kepada belia juga perlu dilakukan. Justeru itu, sikap kerja yang betul dan nilai-nilai positif seperti ikhlas, berdisplin, keutamaan bagi kumpulan, setia kepada syarikat, tekun, dedikasi dan gigih bekerja perlu disemai dan ditanam di dalam hati para perkerja.
Kejayaan jangka panjang untuk kumpulan, syarikat dan masyarakat mestilah dianggap lebih baik daripada kepentingan diri dalam jangkamasa pendek. Kesemua ini bukan sahaja akan membantu meningkatkan mutu kerja, tetapi juga membolehkan kita melahirkan sebuah ekonomi yang dapat bersaing.
Walau bagaimanapun tanggungjawab bagi membangunkan belia yang berkemahiran dan berpengetahuan merupakan sesuatu yang berat dan tidak mampu dipikul oleh kerajaan semata-mata. Sektor swasta diharapkan dapat sama-sama berganding bahu dengan kerajaan untuk memikul tanggungjawab ini.
Gandingan sektor awam-swasta
Konsep Public-Private-Partnership (PPP) diyakini dapat membantu dalam peningkatan kualiti kemahiran, malah dapat memastikan jenis kemahiran yang ditumpukan adalah bersesuaian dengan keperluan industri. Keseimbangan antara permintaan dan pengeluaran tenaga manusia dapat mengurangkan "pembaziran" akibat "miss-match" dalam bidang latihan. Ini akan mempertingkatkan lagi kecekapan sistem latihan dalam negara kita.
Manfaat daripada "pelaburan" sektor swasta dalam latihan teknikal ini, akhirnya akan dapat dinikmati oleh sektor swasta itu sendiri melalui bekalan tenaga mahir yang mencukupi dan yang sesuai dengan keperluan sektor tersebut.
Usaha-usaha untuk melahirkan lebih ramai tenaga kerja mahir dan separuh mahir dalam kalangan belia mungkin akan lebih berjaya jika kita dapat mengubah sikap dan tanggapan masyarakat ke atas pekerjaan kolar biru. Ibu bapa dan belia-belia khususnya, perlu menyedari tentang sumbangan besar yang boleh dibuat oleh pekerja-pekerja kolar biru kepada pembangunan ekonomi negara.
Pencapaian matlamat untuk menjadi sebuah negara perindustrian bergantung besar kepada kejayaan kita mewujudkan kumpulan pekerja belia berkemahiran yang mencukupi dalam pelbagai bidang. Oleh yang demikian, tanggapan negatif ke atas pekerjaan kolar biru wajarlah dihakis dalam kalangan kita semua.
Tidak ada cara yang lebih berkesan untuk menghakis tanggapan ini daripada memberi upahan yang lebih baik kepada pekerja kolar biru daripada pekerja kolar putih. Hanya pengurusan sahaja yang harus diberi penilaian yang lebih tinggi daripada kolar biru. Jika penghargaan ini dibuktikan maka bekalan pekerja kolar biru akan bertambah dan kemahiran mereka juga akan meningkat.
Cabaran pasca COVID-19
Cabaran yang akan kita hadapi pasca COVID-19 kelak bakal menjadi lebih hebat. Cabaran ini datangnya dari dalam dan juga luar negera. Di dalam negara, ianya berkaitan dengan perubahan struktur industri itu sendiri, serta kekurangan tenaga mahir. Di luar negara pula kita terpaksa bersaing dengan negara-negara maju yang lain.
Kita tidak boleh lagi mengharapkan kelebihan daya saing kita berdasarkan kadar upah yang rendah. Ini adalah kerana bertambahnya penggunaan teknologi atau jentera bagi menggantikan operasi yang melibatkan penggunaan buruh yang ramai. Dengan itu tenaga-tenaga mahir, khususnya kemahiran teknikal yang tinggi, akan memainkan peranan penting dalam menentukan kelebihan daya saing pada masa-masa akan datang.
Dengan adanya tenaga kerja yang mempunyai kemahiran dan kecekapan yang tinggi maka produktiviti kita akan meningkat dan kita akan terus mempunyai daya saing yang tinggi.
Kuasai ilmu
Semuanya yang berlaku hari ini adalah takdir Tuhan. Tetapi nasib kita tidak akan berubah melainkan kita sendiri mengubahkannya. Jika golongan belia belajar dan menguasai ilmu, nasib mereka tidak akan sama dengan nasib jika mereka tidak belajar dan tidak memiliki ilmu.
Demikian juga jika mereka tidak berusaha, malas, tidak jujur - nasib mereka tidak akan sama dengan nasib jika mereka berusaha, rajin dan jujur. Walaupun akhirnya Tuhan yang menentukan segala-galanya, ini tidak bermakna bahawa kita sendiri tidak boleh mempengaruhi apa yang berlaku kepada kita.
Selamat Menyambut Hari Belia Negara, yang jatuh pada setiap 15 Mei. Malangnya, ramai lupa tarikh ini. Jadi, kalau ramai belia lupa pada segala hal penting dalam negara, ini mungkin satu daripada sebabnya. Sahutlah seruan keramat ini, Belia Bertindak Demi Kebenaran dan Keadilan!
--BERNAMA
Mohammad Rizan Hassan merupakan penerima anugerah Tokoh Belia Negara 2011 dan Tokoh Belia ASEAN 2011
(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)
Sumber : BERNAMA
Pautan : https://www.bernama.com/bm/tintaminda/news.php?id=1842579