kbs Agensi di bawah Kementerian Belia dan Sukan Malaysia 
A A  Arial | PT Sans | Century
 Bahasa lain   carian
faq hubungi hubungi hubungi

Rangka pelan perkasa belia bantu jadi pencetus kemakmuran negara

20221013 statistik

 

Sambutan Maulidur Rasul bukan sekadar memperingati hari ulang tahun kelahiran junjungan besar Nabi Muhammad SAW, malah ia menjadi wadah terbaik bagi negara dan rakyat bergerak menuju kepada fasa endemik COVID-19.

Ia juga bakal menyaksikan lebih banyak perkembangan positif ke arah pemulihan negara baik dari sudut teknologi, sosial dan ekonomi termasuk peningkatan permintaan tenaga kerja dalam pasaran.

Sambutan ini juga amat signifikan supaya generasi muda turut terbabit bersama-sama menyantuni masyarakat dan meneladani susur kehidupan, perjuangan dan sunah Baginda SAW.

Justeru, agenda pemerkasaan daya tahan golongan belia Malaysia amat sinonim dengan kesinambungan kegemilangan negara yang memasuki 65 tahun usianya dengan menggunakan acuannya yang tersendiri.

Bagaimanapun, ketika negara berdepan dengan gelombang penularan COVID-19 sejak Mac 2020, urusan terpenting kini adalah memastikan kelangsungan dan kesejahteraan kehidupan rakyat terhimpit dalam ekonomi, sosial dan emosi termasuk membina jati diri dan semangat patriotisme golongan muda.

Pasaran pekerjaan di Malaysia dikeluarkan Jabatan Perangkaan mendapati kadar pengangguran pada Jun lalu turun kepada 3.8 peratus (630,600), paling rendah sepanjang negara terkesan pandemik COVID-19.

Begitu juga dengan kadar pengangguran belia berusia antara 15 hingga 30 tahun didapati menurun sedikit kepada 7.4 peratus pada Mei lalu.

Namun, hampir 470,000 lagi golongan belia masih menganggur terutama guna tenaga tidak penuh siswazah meningkat kepada 33.9 peratus pada 2021 berbanding 31.2 peratus pada 2020.

Fenomena ini menyaksikan ramai graduan dan siswazah dalam kalangan belia tidak berpeluang mendapatkan pekerjaan sepadan dengan kemahiran dan kelayakan mereka.

Belia kelompok paling terkesan

Berdasarkan situasi berkenaan, golongan belia menjadi kelompok paling terkesan akibat pandemik COVID-19. Justeru, inti pati utama program pembangunan kompetensi belia perlu menekankan aspek pembangunan kemahiran baharu (upskilling), memperkasa kemahiran sedia ada (reskilling) dan menyilangkan tenaga buruh sedia ada dengan kemahiran lain (cross-skilling).

Selain itu, antara syor untuk membantu belia supaya dapat menyumbang kepada negara pada fasa peralihan ke endemik adalah meningkatkan sokongan luaran terutama penggiat industri dan syarikat korporat menyediakan latihan, amali dan peluang pekerjaan kepada golongan ini.

Bagaimanapun, pembabitan belia perlu diperluaskan dan digalakkan untuk mereka merebut peluang serta insentif disediakan kerajaan dipertingkatkan supaya mereka membangunkan kompetensi diri.

Perjuangan generasi muda masa kini adalah simbol kebersamaan dalam menghadapi sebarang cabaran bagi mencapai kehidupan lebih harmoni dan sejahtera, menjurus kepada pemeliharaan kemaslahatan ummah melalui lima prinsip utama iaitu penjagaan agama, nyawa, akal, keturunan dan harta.

Sehubungan itu, kolaborasi antara institusi pengajian tinggi (IPT) dan penggiat industri perlu dilakukan secara berterusan supaya graduan dilahirkan nanti sepadan dengan keperluan industri pada masa kini.

Selain itu, corak pengajaran dan pembelajaran (PdP) terutama di IPT perlu berubah kepada berorientasikan kajian kes serta pembelajaran berasaskan masalah dengan membawa cabaran semasa ke dalam kuliah.

Sementara itu, antara peluang pekerjaan berpotensi untuk dikembangkan kepada belia adalah berorientasikan pendigitalan yang secara tidak langsung membolehkan belia tidak bergantung kepada pekerjaan 'makan gaji' semata-mata.

Usaha penjenamaan pekerjaan sektor 3D (kotor, bahaya dan sukar) perlu diteruskan termasuk menawarkan gaji setimpal bagi menarik minat tenaga buruh tempatan menceburinya.

Kesimpulannya, usaha bersepadu ini peluang untuk memacu generasi muda turut berperanan sebagai sebahagian daripada anggota Keluarga Malaysia dan menjadi agen pemangkin kemakmuran negara di fasa endemik.

Penulis adalah Pensyarah Jabatan Pemajuan Profesional & Pendidikan Lanjutan, Fakulti Pengajian Pendidikan, Universiti Putra Malaysia (UPM)

Sumber : Berita Harian, Pautan : Berita Harian

RAKAN STRATEGIK IYRES

iyres.svg

INSTITUT PENYELIDIKAN PEMBANGUNAN BELIA MALAYSIA

Aras 10, Menara KBS, No. 27 Persiaran Perdana, Presint 4,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62570 Putrajaya.

Tel : +603-8871 3417 
Faks : +603-8871 3342 
Emel : info[at]iyres.gov.my

Image
Image
Image
Image

© 2023 Institut Penyelidikan Pembangunan Belia Malaysia (IYRES)
Hak cipta terpelihara. Paparan terbaik pada versi terkini Chrome, Firefox, Edge, Safari.