kbs Agensi di bawah Kementerian Belia dan Sukan Malaysia 
A A  Arial | PT Sans | Century
 Bahasa lain   carian
faq hubungi hubungi hubungi

PENYERTAAN BELIA DALAM PROGRAM PEMBANGUNAN KOMUNITI DI FELDA JERANGAU, TERENGGANU

Makalah ini membincangkan senario penyertaan belia dalam program pembangunan komuniti anjuran Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Rancangan (JKKR) di Felda Jerangau, Terengganu. Pengumpulan data dijalankan melalui kerja lapangan dengan menggunakan kaedah temubual mendalam dan pemerhatian. Lapan orang informan telah ditemubual, antaranya ahli JKKR Felda Jerangau, golongan belia dan
peneroka. Dapatan kajian menunjukkan belia di Felda Jerangau terlibat dalam beberapa program pembangunan dari aspek sosial, ekonomi dan politik serta kepimpinan. Namun begitu, penyertaan belia dalam program pembangunan anjuran JKKR Felda Jerangau kurang mendapat sambutan. Hal ini kerana terdapat beberapa faktor penghalang yang menyebabkan penyertaan belia kurang memuaskan. Antaranya, masalah perpaduan dan konflik politik kepartian, masalah sosial belia dan masalah dalaman JKKR Felda Jerangau itu sendiri. Oleh itu, faktor-faktor penghalang
tersebut perlu diselesaikan segera oleh pihak berwajib khususnya JKKR Felda Jerangau yang merupakan badan pemesyuaratan tertinggi di rancangan Felda. Dalam hal ini kerjasama antara golongan belia dan JKKR Felda Jerangau juga perlu dibentuk supaya agenda pembangunan belia di rancangan Felda Jerangau dicapai dengan adanya penyertaan positif dan proaktif daripada golongan belia.

Kata kunci: Belia, Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Rancangan

muat turun

KLIK DI SINI UNTUK MUAT TURUN ARTIKEL PENUH

PENYERTAAN DAN HAMBATAN BELIA BARIO DALAM MEMBANGUNKAN KOMUNITI

Golongan belia hari ini sedar bahawa mereka mempunyai kemampuan untuk membangunkan komuniti mereka. Ini berdasarkan kepada kepercayaan dan persepsi mereka terhadap peluang yang ada di sekitar mereka. Bagi meneroka kemampuan dan penglibatan serta kekangan penglibatan belia Bario dalam membangunkan komuniti, kajian telah dilaksanakan ke atas 352 orang belia Bario, yang dipilih secara rawak mudah. Kajian ini menggunakan reka bentuk kajian tinjauan dan melibatkan kaedah pengumpulan data menggunakan borang soal selidik. Kajian mendapati bahawa penyertaan belia Bario dalam aktiviti membangunkan komuniti termasuklah penglibatan mereka dalam organisasi komuniti adalah rendah. Ia adalah disebabkan kerana mereka berhadapan dengan halangan berbentuk luaran iaitu generasi lebih tua yang mengehadkan penglibatan belia dalam aktiviti dalam komuniti. Selain itu, mereka turut mempunyai masalah dalaman, iaitu kurang memiliki kemahiran tertentu
dalam menjayakan organisasi dalam komuniti meskipun mempunyai keinginan yang kuat untuk mendaya upayakan komuniti mereka.

Kata kunci: penyertaan, organisasi, hambatan/ halangan, pembangunan komuniti

muat turun

KLIK DI SINI UNTUK MUAT TURUN ARTIKEL PENUH

PENGLIBATAN BELIA DALAM FENOMENA MAT REMPIT: IMPLIKASI TERHADAP PRAKTIS PEMBANGUNAN BELIA MALAYSIA

Kertas ini menerokai punca berlakunya fenomena rempit dalam kalangan belia dengan menjawab beberapa persoalan berkaitan iaitu; 1) Siapakah belia ‘rempit’ dan 2) Apakah faktor penolak mengapa belia merempit? Persoalan tentang fenomena ini kemudiannya dikaitkan dengan implikasi praktis kepada pembangunan belia Malaysia. Dengan menggunakan pendekatan kajian kes fenomenologi, penerokaan empirikal ini menganalisis fenomena Rempit bagi mentransformasikannya kepada satu peluang dalam praktis pembangunan belia.

Kata Kunci: Belia ‘Rempit’, Sub-Budaya Belia, Pembangunan Belia, Pembangunan Identiti Individu, Identiti melalui Keluarga, Perspektif Masyarakat

muat turun

KLIK DI SINI UNTUK MUAT TURUN ARTIKEL PENUH

ANALISIS KECENDERUNGAN PENYALAHGUNAAN BAHAN DAN PERANAN FAKTOR KEAGAMAAN: KAJIAN KES TERHADAP BELIA DI SEBUAH IPTA

Kajian ini bertujuan mengenalpasti kecenderungan penyalahgunaan bahan dalam kalangan pelajar tahun pertama di salah sebuah institusi pengajian tinggi awam di Malaysia. Responden terdiri daripada 1000 orang pelajar berumur antara 18 hingga 23 tahun. Tahap kecenderungan penyalahgunaan bahan telah diukur menggunakan alat pengukuran psikologi SASSI-2 (Substance Abuse Subtle Screening) yang terdiri
daripada lapan subskala, iaitu: Family friends risk, Attitude, symptom,obvious attributes, subtle attributes, defensiveness, supplemental addiction measure dan correctional. Menerusi hasil psikometrik Skala SASSI-2, terdapat seramai 21 orang pelajar terbabit dalam penyalahgunaan bahan (SAD) dan sembilan orang pelajar telah dikenalpasti berada pada tahap kebergantungan dengan bahan (SDD). Selain itu, seramai 793 pelajar dikenalpasti memiliki potensi untuk terlibat dengan penyalahgunaan bahan (tahap kebarangkalian yang rendah untuk SAD) dan seramai 177 pelajar bebas dari keterlibatan ini. Dalam mengenalpasti faktor yang mempengaruhi kecenderungan penyalahgunaan bahan dalam kalangan responden, analisis regresi menunjukkan sumbangan faktor keagamaan terhadap kesemua subskala pengukuran SASSI-2. Dapatan kajian ini mencadangkan program prevensi terapi spiritual mental-kognitif dan psiko-sosial terhadap subjek yang berpotensi untuk terlibat dengan penyalahgunaan bahan serta program intervensi terapi mental-kognitif
dan psiko-sosial yang disertakan dengan terapi klinikal bio-fizikal dan bio-psikologikal bagi subjek yang berada pada tahap SAD dan SDD.

Kata kunci: pengukuran psikometrik, belia, penyalahgunaan bahan, keagamaan

muat turun

KLIK DI SINI UNTUK MUAT TURUN ARTIKEL PENUH

KEPENGGUNAAN TEKNOLOGI MAKLUMAT DAN KOMUNIKASI DALAM KALANGAN BELIA ORANG ASLI DI TEMERLOH, PAHANG

Kajian kes ini meliputi tinjauan fenomena belia Orang Asli dan isu kepenggunaan teknologi komunikasi dan maklumat. Laporan kajian meneliti analisis kualitatif hasil dari sesi temu bual mendalam dengan empat informan Orang Asli. Sejumlah sepuluh orang informan terlibat dalam sesi temu bual yang direncanakan mengikut reka bentuk kajian kes (Yin, 1994). Verbatim dari transkrip analisis awal dibincangkan dan rumusan disimpulkan untuk menerangkan kepelbagaian isu dan konteks kepenggunaan ICT dalam kalangan belia Orang Asli di Kg. Paya Badak, Temerloh, Pahang. Tema mengenai peluang, aksesibiliti dan kekangan serta cabaran mendalami ilmu dan penggunaan ICT menjadi tumpuan kajian. Aspek kewangan dan pendidikan juga didapati menjadi fokus utama dalam menentukan kepenggunaan ICT yang lebih serius. Kajian akan datang dicadangkan untuk meneroka isu penembusan penggunaan khidmat jalur lebar dan lain-lain perkhidmatan tanpa wayar dalam kalangan belia Orang Asli di seluruh Malaysia, terutama di kawasan petempatan Orang Asli yang mempunyai Pusat Jalur Lebar Komuniti, sepertimana yang terdapat di kawasan luar-luar bandar utama di seluruh negara.

Kata kunci: Belia, Orang Asli, Teknologi Maklumat dan Komunikasi,Kepenggunaan

muat turun

KLIK DI SINI UNTUK MUAT TURUN ARTIKEL PENUH

RAKAN STRATEGIK IYRES

iyres.svg

INSTITUT PENYELIDIKAN PEMBANGUNAN BELIA MALAYSIA

Aras 10, Menara KBS, No. 27 Persiaran Perdana, Presint 4,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62570 Putrajaya.

Tel : +603-8871 3417 
Faks : +603-8871 3342 
Emel : info[at]iyres.gov.my

Image
Image
Image
Image

© 2023 Institut Penyelidikan Pembangunan Belia Malaysia (IYRES)
Hak cipta terpelihara. Paparan terbaik pada versi terkini Chrome, Firefox, Edge, Safari.